ALOR SETAR: “Ini sesuatu yang mengejutkan dan saya tak tahu apa yang terjadi kepada pemain kami.
Demikian keluhan Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Miroslav Kuljanac mengenai aksi anak-anak buahnya yang tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi pertama, pusingan ke-16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Ketua Jurulatih dari Croatia itu mengakui, dia marah dan sangat kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak-anak buahnya.
“Kami bermula baik, mencipta beberapa peluang serta membuka jaringan. Tetapi selepas itu saya agak terkejut dan tak tahu apa yang berlaku.
“Kami melepaskan dua gol pada separuh masa pertama dan saya tak tahu perkara yang terjadi pada antara minit ke-30 hingga minit ke-40. Para pemain kelihatan sangat mementingkan diri dan perkara itu perlu diperbetulkan.
“Kami juga memiliki peluang terbaik melalui Patrick Alcala Reichelt apabila dia hanya berdepan penjaga gol tuan rumah tetapi dia gagal menghasilkan jaringan. Itu tak sepatutnya berlaku kerana sebagai seorang pemain bertaraf antarabangsa, dia patut sempurnakan peluang itu,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, setiap anggota pasukannya sebelum ini ada mendengar mengenai masalah yang melanda pasukan lawan dengan dia sentiasa mengingatkan para pemain agar tidak mempedulikan perkara itu, serta sentiasa fokus kepada permainan sendiri.
“Mungkin para pemain saya fikir segalanya akan berakhir setelah kami mendahului 1-0. Selepas menjaringkan gol pembukaan itu, saya fikir mental keseluruhan pasukan seakan merudum dan langsung tidak mengikut perancangan yang diatur.
“Ini jelas bukan permainan yang kami rancang dan mahukan. Sebelum permainan, saya yakin pemain boleh lakukan yang terbaik tetapi lain pula yang terjadi dan ini bukan sesuatu yang saya gemar,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan timbal balik selepas ini, Miroslav mengharapkan agar para pemain dapat bangkit bagi menebus kekecewaan di laman sendiri.
“Pada akhirnya saya beritahu kepada pemain bahawa tewas dengan satu gol lebih baik berbanding perbezaan dua jaringan dalam keadaan pasukan lawan juga memiliki banyak peluang dalam perlawanan itu.
“Pada aksi timbal balik nanti, saya mahu para pemain lebih tenang terutamanya apabila kami mendahului. Saya kenal para pemain ini serta tahu kemampuan mereka dan disebabkan itu, saya yakin kami mampu bangkit,” katanya. – UTUSAN