MEXICO CITY: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menyatakan kesediaan menghadapi kemungkinan penghantaran pulang besar-besaran golongan pendatang oleh Amerika Syarikat (AS) sebagaimana diumumkan oleh Presiden terpilih, Donald Trump, lapor agensi berita Xinhua.
Bagaimanapun, beliau membantah tindakan melayan warga pendatang seperti penjenayah.
“Jika berlaku penghantaran pulang, kami bersedia menerima rakyat Mexico dan telah merangka pelan khusus untuk itu.
“Itulah sebabnya institusi keadilan diwujudkan di seluruh dunia, bagi melindungi hak asasi manusia,” katanya.
Menurut Sheinbaum, kerajaan sedang memperkukuh rangkaian konsulat Mexico di AS untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada rakyat Mexico yang berdepan risiko dihantar pulang.
Dalam beberapa hari akan datang, Sheinbaum dijangka bertemu anggota Kabinetnya untuk menyemak isu-isu dua hala yang perlu dibincangkan bersama pasukan Trump.
Perkara utama yang bakal menjadi tumpuan ialah isu imigresen, keselamatan, perdagangan, serta perjanjian perdagangan bebas antara Mexico, AS dan Kanada (USMCA).
Trump, yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 20 Januari 2025, sebelum ini mengancam untuk memperketatkan kawalan bagi menghentikan kemasukan pendatang tanpa izin di sempadan AS-Mexico. – AGENSI