Mampukah gelaran MotoGP dinobatkan di Sepang?

Mampukah gelaran MotoGP dinobatkan di Sepang?

MARTIN optimis mampu mengekalkan prestasi untuk bergelar juara MotoGP musim 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Grand Prix  (GP) Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok bakal menjadi tumpuan peminat sukan permotoran dunia kerana bakal menjadi penentu perebutan gelaran juara Moto GP.

Ketika ini, hanya 17 mata memisahkan antara juara bertahan, Francesco Bagnaia dengan pendahulu Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas utama, MotoGP, Jorge Martin dalam perebutan gelaran bagi musim 2024.

Martin yang bernaung di bawah pasukan Prima Pramac Racing kini mengumpul 453 mata untuk mengungguli senarai pelumba MotoGP, manakala, pelumba Ducati Lenovo Team, Bagnaia mengutip 436 mata berada di tangga kedua.

Bagnaia yang menjuarai GP Thailand, minggu lalu, melakar kejayaan pertama di atas litar basah semakin menghambat Martin yang memburu gelaran dunia pertamanya bagi kelas perdana tersebut.

Berdasarkan kiraan matematik, hanya 74 mata yang tinggal untuk direbut kedua-dua pelumba itu musim ini, termasuk 37 mata yang dipertaruhkan, hujung minggu ini.

Bagi pelumba kelahiran Sepanyol, Martin sekurang-kurangnya dia perlu mengutip 38 mata di Sepang bagi menjamin gelaran dunia menjadi miliknya, tanpa perlu bertarung di Valencia dalam perlumbaan penutup musim, dua minggu lagi.

Bagaimanapun, jika berhajat untuk melakar sejarah dalam kariernya itu, Martin perlu mengharapkan Bagnaia hanya mampu melengkapkan aksinya dalam saingan ‘sprint’ pada hari ini dan perlumbaan sebenar, esok, di kedudukan kelima atau lebih rendah.

Pelumba berusia 26 tahun itu dalam sidang media berkata, dia yakin untuk beraksi di Sepang dan satu penghormatan berpeluang sekali lagi bersaing dengan Bagnaia atau lebih mesra dengan panggilan Pecco.

“Saya rasa persaingan pada ketika ini sangat gila dengan kekuatan jentera sama tara dan sekarang kedua-dua kami sekali lagi perlu bertarung untuk merebut kejuaraan di sini.

“Bersaing dengan Pecco yang merupakan seorang juara yang mengagumkan, saya yakin dengan kemampuan saya dan akan berjuang sehingga ke penghujung demi pasukan dan diri saya sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai tekanan yang mungkin dirasainya, Martin memberitahu, untuk sekali lagi berada di Sepang ia merupakan satu penghormatan, jika tahun lalu dia memang berasa agak tertekan dan gementar, tetapi berbeza dengan tahun ini.

“Saya sekarang lebih matang dan mampu untuk menikmati keseronokan perlumbaan ini, saya tahu saya boleh sahaja tewas, tetapi dalam masa sama saya juga mampu meraih kemenangan.

“Tahun lepas, saya terlepas merangkul gelaran dan tiada apa-apa yang menjejaskan saya kerana dunia bukan hendak kiamat pun, jadi, saya akan memberikan 100 peratus, hujung minggu ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya