PETALING JAYA: Pasukan hoki wanita kebangsaan meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Thailand 2-0 pada aksi terakhir liga sepusingan sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir Trofi Juara-juara Asia Wanita (ACT) 2024 di Bihar, India, petang tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar itu, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama sehingga Nur Afiqah Syahzani Azhar menyempurnakan pukulan sudut pada minit ke-41 pada babak kedua.
Malaysian Tigress tampak lebih selesa apabila Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi meletakkan skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim 2-0 pada minit ke-53 dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Biarpun hambar membuka kempen ACT 2024 selepas tumpas kepada India 4-0 serta China (5-0), skuad negara berjaya melayakkan diri ke separuh akhir selepas menduduki tangga ketiga daripada enam pasukan.
Mengikut format kejohanan hanya empat pasukan teratas akan melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan terbabit.
Kemenangan ini memperbaharui rekod Malaysian Tigress pada kejohanan edisi tahun lalu yang hanya sekadar menamatkan kempen di tempat kelima.
Malaysia seterusnya akan berdepan cabaran besar menentang China yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, Julai lalu pada perlawanan separuh akhir Selasa ini pukul 4.45 petang. – UTUSAN