KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia Tigers bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membenam Korea Selatan 3-2 pada perlawanan akhir Piala Mirnawan 2024, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Korea Selatan terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Choe Dohyeon sebelum tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan Malaysia Tigers mengubah percaturan mereka apabila mendahului 2-1 menerusi jaringan Aferull Syah pada minit ke-38 dan 48 permainan.
Tersentak dengan dua jaringan terbabit, Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut oleh Dohyeon selang satu minit kemudian.
Usaha Malaysia Tigers yang berhempas pulas untuk mencari gol kemenangan terbalas, apabila kapten pasukan, Muhammad Safwan memastikan gelaran Piala Mirnawan 2024 menjadi milik Malaysia pada minit ke-54.
Jurulatih Malaysia Tigers, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin berkata, beliau melaungkan amaran kepada anak-anak buahnya sebelum perlawanan akhir bermula supaya bermain dengan lebih berdisplin sekali gus menjadi faktor kemenangan hari ini.
“Alhamduillah atas kejayaan pasukan hari ini. Kita lihat dalam permainan tadi mereka (Korea Selatan) bermain fast hockey. Saya sudah mengingatkan mereka supaya bermain dengan lebih berdisiplin.
“Sekiranya mereka bermain dengan disiplin kita dapat mengetahui bagaimana kelajuan Korea Selatan dapat di atasi dan bagaimana kita lihat gol ketiga Malaysia dapat dipertahankan dalam lima minit terakhir permainan,” kata Izwan kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Ini merupakan gelaran sulung Malaysia pada kejohanan edisi ketiga ini, selepas terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila tewas di tangan Australia All Star 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out, November tahun lalu.
Untuk rekod, pasukan hoki lelaki Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) merupakan juara pada kejohanan edisi sulung Piala Mirnawan apabila menewaskan Jepun 4-1, Disember 2022. – UTUSAN