PETALING JAYA: Malaysia dan New Zealand menyasarkan peningkatan perdagangan dan pelaburan sehingga 50 peratus antara dua negara itu pada tahun 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengadakan pertemuan singkat bersama rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon sebelum bermula hari terakhir Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).2024.
“Kami sepakat untuk melonjakkan lagi hubungan antara kedua-dua negara menerusi kerjasama pelbagai bidang, terutamanya meningkatkan perdagangan dan pelaburan (sehingga) sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
“Kami turut membincangkan kerjasama dalam bidang pendidikan Teknologi Maklumat (IT), kejuruteraan, pertanian dan industri halal,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifikyang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.
Ia mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC selain Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.-UTUSAN