PUTRAJAYA: Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel susulan insiden membabitkan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 di Sidon, Lubnan semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, tindakan berkenaan tidak boleh diterima sama sekali.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan beberapa perkara dan salah satu daripadanya melibatkan tentera Malbatt yang telah mengalami kecederaan.
“Segala perancangan sekiranya perlu atau apa-apa tindakan, kita rujuk kepada Kementerian Pertahanan nanti,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Katanya, Malaysia mengutuk serangan itu termasuk serangan berterusan terhadap Lubnan dan pasukan Malbatt.
Media semalam melaporkan, enam anggota MALBATT disahkan mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.
Dalam insiden itu, seorang anggota yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida manakala lima lagi anggota yang cedera ringan telah selamat sampai ke Kem Marakah.
Pada Rabu lepas penghantaran pertama pasukan MALBATT 850-12, melibatkan 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam bermula 6 hingga 18 November ini. – UTUSAN