KUALA LUMPUR: Kem terjun negara membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri selepas mempertahankan juara secara keseluruhan pada kejohanan Terbuka Malaysia 2024 yang melabuhkan tirainya hari ini, di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.
Malaysia berhasil mengutip tujuh pingat emas dan tiga perak dalam 10 acara yang dipertandingkan pada kejohanan edisi kedua terbabit.
New Zealand muncul selaku naib juara dengan dua pingat emas dan satu gangsa manakala Hong Kong berhasil menuai satu emas, perak dan gangsa.
Kem terjun negara berjaya mengungguli tujuh acara menerusi ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dalam acara berpasukan campuran dan 10 meter (m) platform wanita, Jellson Jabilin-Bertrand Rhodict Lises (10m platform seirama lelaki), Pandelela-Enrique Maccartney Harold (10m platform seirama campuran), Jellson (10m platform lelaki), Nur Dhabitah Sabri-Ong Ker Ying (3m papan anjal seirama wanita) serta Dhabitah-Gabriel Gilbert Daim dalam acara 3m papan anjal seirama campuran.
Pingat perak pula berhasil dituai oleh penerjun senior negara, Muhammad Syafiq Puteh menerusi acara 3m papan anjal lelaki serta bersama Hanis Nazirul Jayasurya dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki dan Enrique (10m platform lelaki).
Selain New Zealand dan Hong Kong, negara Jepun, Singapura, Filipina, Indonesia dan Taiwan turut mewarnai kejohanan edisi kali ini.
Untuk rekod, pada edisi sulung, Malaysia berjaya mengaut enam pingat emas, empat perak serta lima gangsa mengatasi Uzbekistan di tempat kedua dan Singapura di carta ketiga. – UTUSAN