Malaysia contohi UAE guna AI urus bencana alam

Malaysia contohi UAE guna AI urus bencana alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melihat kepada aspek kecerdasan buatan (AI) untuk meramalkan musibah berdasarkan data sejarah dan membolehkan amaran awal serta ramalan jenis bencana di samping perancangan logistik dalam pengurusan bencana alam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, aspek itu merupakan antara nilai tambah yang baik buat Malaysia untuk mempelajari amalan pengurusan krisis daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, selain itu, Malaysia melihat dari aspek pemerhatian bumi dengan menggunakan imej satelit untuk mengumpul data kritikal mengenai corak cuaca, paras laut dan keadaan persekitaran serta memberikan amaran awal terhadap potensi bencana.

“Selain itu, Sistem Platform Ketinggian Tinggi (HAPS), ia menggunakan dron dan belon ketinggian tinggi untuk menangkap data resolusi tinggi bagi meningkatkan kesedaran situasi di kawasan yang terjejas.

“Kenderaan Tindak Balas Bencana Khas mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE dalam pengurusan bencana untuk tindak balas yang lebih berkesan dan pantas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang kini dalam lawatan kerja ke UAE mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed yang tertumpu kepada pelbagai peluang kerjasama terutama dalam pengurusan bencana. 

Kedua-dua mereka juga menyentuh potensi kerjasama antara Nadma dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis dan Bencana Nasional (NCEMA) UAE, sebuah badan utama di bawah Majlis Keselamatan Negara yang mempunyai kepakaran luas dalam pengurusan krisis merentasi pelbagai sektor.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pihaknya melihat perbincangan itu menjadi nilai tambah untuk Malaysia mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE khususnya pengalaman mereka menangani cabaran bencana kompleks dan memberikan pengetahuan memperkukuhkan kesiapsiagaan bencana negara ini.

Katanya, kerjasama itu akan mengukuhkan lagi usaha dalam menyediakan bantuan bencana yang turut berlaku kepada negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. 

“Baru-baru ini, Malaysia telah menghantar helikopter EC725i Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama kru seramai 16 orang untuk menyokong Filipina terhadap Taufan Trami.

“Selain itu, Malaysia turut mengambil bahagian secara aktif dalam Persidangan Menteri Asia-Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Filipina dan Mesyuarat Menteri ASEAN ke-12 mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) di Brunei untuk mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko bencana serantau. 

Menurut Ahmad Zahid, selain luar pengurusan bencana, kedua-dua pihak juga meneroka peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan pengembangan potensi perdagangan halal. 

“Di samping itu, kami membincangkan inisiatif untuk memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta meneroka kerjasama dalam sektor Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan.

“Kolaborasi yang berpotensi tinggi ini akan mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia-UAE seterusnya mengangkat perkongsian ke tahap yang lebih tinggi serta meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan bersama dan pembangunan mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya