THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant serta beberapa pegawai Hamas atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Kes itu berkait dengan peperangan di Gaza dan serangan Hamas pada Oktober 2023, yang mencetuskan serangan balas Israel ke atas wilayah Palestin itu.
Keputusan tersebut menjadikan Netanyahu dan individu terbabit sebagai suspek yang paling dikehendaki di peringkat antarabangsa, sekali gus berpotensi mengasingkan mereka serta menyukarkan usaha perundingan untuk mencapai gencatan senjata dalam konflik selama 13 bulan itu.
Namun, kesan dari sudut praktikal dijangka terhad kerana Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat, bukan anggota ICC.
Tambahan pula, beberapa pegawai Hamas yang dinamakan telah terkorban dalam konflik berkenaan.
Netanyahu dan pemimpin Israel lain mengecam permintaan Ketua Pendakwa ICC, Karim Khan untuk waran itu sebagai memalukan dan bersifat antisemitic, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut menyelar tindakan tersebut sambil menyatakan sokongan terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri daripada serangan Hamas.
“Mahkamah mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai kedua-dua individu tersebut secara sengaja dan sedar telah menyekat penduduk awam di Gaza daripada mendapatkan keperluan asas untuk kelangsungan hidup seperti makanan, air, ubat-ubatan, bahan bakar dan elektrik,” kata panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant.
Kementerian Luar Israel dalam kenyataan September lalu, memaklumkan pihaknya telah menghantar dua dokumen perundangan bagi mencabar bidang kuasa ICC serta mendakwa mahkamah tersebut gagal memberi peluang kepada Israel untuk menyiasat tuduhan itu secara dalaman sebelum permohonan waran dibuat.
“Tiada mana-mana demokrasi dengan sistem perundangan bebas dan dihormati seperti yang wujud di Israel diperlakukan sebegini berat sebelah oleh Pendakwa Raya,” kata jurucakap Kementerian Luar, Oren Marmorstein di platform media sosial X.
ICC merupakan mahkamah pilihan terakhir yang hanya menjalankan pendakwaan apabila pihak berkuasa penguatkuasaan domestik gagal atau enggan menyiasat sesuatu kes.
Bagaimanapun, status Israel yang bukan anggota mahkamah itu menyukarkan penguatkuasaan waran dan hanya bergantung kepada kerjasama negara anggota. -AGENSI