TASEK GELUGOR : Polis kini sedang menggiatkan usaha memburu seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun di sebuah kedai runcit di Jalan Pokok Machang, di sini, semalam.
Ia susulan penularan satu rakaman video berdurasi satu minit mengenai kejadian tersebut di media sosial sejak petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, terdahulu, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian samun bersenjata itu yang dibuat oleh seorang wanita tempatan kira-kira pukul 9.10 malam, pada hari kejadian.
“Wanita terbabit melaporkan bahawa pekerjanya iaitu seorang lelaki warga Pakistan telah disamun oleh seorang lelaki tempatan yang menunggang motosikal dan bersenjatakan parang. Bagaimanapun, nombor pendaftaran motosikal itu tidak dapat dikenal pasti.
“Terdapat juga sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran yang merakamkan kejadian terbabit selain saksi kejadian. Namun, wajah suspek tidak jelas kerana memakai topi keledar dan topeng muka berwarna gelap,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, siasatan mendapati, kerugian wang jualan kedai tersebut dianggarkan sebanyak RM2,500 dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Dalam rakaman video tersebut, suspek yang bersenjatakan parang dilihat memasuki premis terbabit sebelum cuba menyerang pekerja kedai itu sehingga menyebabkan mangsa memanjat kaunter dan melarikan diri ke arah jalan raya.
Lelaki tersebut kemudiannya dilihat menggeledah kaunter berkenaan sebelum melarikan bekas wang dengan menggunakan motosikal yang ditinggalkan di luar kedai tanpa dimatikan enjin.-UTUSAN