BUTTERWORTH : Lelaki warga Myanmar yang bertindak mengorek mata seorang lelaki tempatan dalam satu pergaduhan di Tasek Gelugor, Sabtu lalu hari ini mengaku bersalah atas perbuatannya itu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.
Tertuduh, Murtabis, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Muhd Sobri.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa telah menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki lain yang berusia 52 tahun di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, kira-kira pukul 2 petang pada 16 November lalu.
Atas kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki apa-apa pas yang sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Simpang Tiga, Tasek Gelugor, kira-kira pukul 3 petang, pada hari kejadian.
Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali selain dikenakan tidak kurang daripada enam kali sebatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Terdahulu, ketika prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut disebabkan tertuduh bukan seorang warganegara.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu kehadiran jurubahasa Myanmar selain tidak membenarkan tertuduh untuk diikat jamin.
Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang lelaki tempatan dilaporkan mengalami cedera parah selepas bebola mata kirinya dikorek oleh lelaki warga asing dipercayai dengan menggunakan tangan.
Kejadian tersebut berlaku apabila suspek dikatakan berang dengan tindakan mangsa berusia 52 tahun itu yang didakwa sering menganggunya sebelum ini.
Menurut polis, akibat perbuatan suspek itu, mata mangsa kini tidak dapat diselamatkan dan berisiko tinggi untuk mengalami kecacatan kekal.-UTUSAN