NAGAN RAYA: Seorang lelaki berusia 22 tahun dilaporkan ditembak dengan senapang angin ketika sedang melepak bersama rakannya di Kuala Pesisir, Nagan Raya, Aceh, malam Rabu lalu.
Akibat insiden tersebut, mangsa mengalami kecederaan yang serius pada kedua-dua belah mata serta peluru juga melekat di kepala mangsa.
Mangsa tersebut dikejarkan ke Hospital Sultan Iskandar Muda Nagan Raya sebelum dipindahkan ke Hospital Zainoel Abidin di Banda Aceh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Siasatan Jenayah Balai Polis Nagan Raya, Virma Ramadani mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan.
“Kes ini masih dalam siasatan dan mangsa dihantar ke Hospital Zainoel Abidin,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diterima, insiden tersebut berlaku sekitar pukul 7.00 petang waktu tempatan ketika mangsa sedang duduk bersama rakannya sambil bermain telefon bimbit.
Tiba-tiba mangsa seperti terkena tembakan di bahagian sebelah kanan mata sehingga mengalirkan darah, diikuti dengan bunyi tembakan senapang.
Mangsa kemudian pulang ke rumah dengan berjalan kaki dan melaporkan kejadian tersebut sebelum dibawa ke pusat kesihatan Padang Panjang, yang kemudian merujuknya ke Hospital Nagan Raya.
Pemeriksaan x-ray mendapati peluru senapang angin melekat di kepala mangsa sebelum merujuknya pula ke Hospital Zainoel Abidin, Banda Aceh.
Sehingga sekarang, kes itu masih lagi berada dalam siasatan pihak berkuasa -AGENSI