GENEVA : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan lebih 200 kanak-kanak terkorban di Lubnan sejak Israel meningkatkan serangan terhadap Hezbollah, September lalu.
Menurut Jurucakap Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), James Elder angka korban itu menunjukkan pola yang membimbangkan kerana tiada tindakan konkrit diambil oleh pihak yang mampu menghentikan keganasan tersebut.
“Dalam tempoh dua bulan lalu, purata tiga kanak-kanak terbunuh setiap hari di Lubnan,” katanya kepada pemberita.
Tambah beliau, lebih 1,100 kanak-kanak telah cedera dan mengalami trauma sepanjang tempoh itu, dengan ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal akibat konflik tersebut.
Hezbollah mula melancarkan serangan roket ke Israel pada Oktober tahun lalu sebagai tanda sokongan kepada kumpulan Hamas di Gaza.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran di Lubnan, terutamanya di kubu kuat Hezbollah, namun beberapa serangan turut mengenai kawasan lain di luar kawalan kumpulan itu.
Sejak serangan itu bermula, lebih 3,510 nyawa terkorban di Lubnan, dengan majoriti korban direkodkan sejak hujung September, menurut pihak berkuasa negara itu.
Elder menjelaskan sejak perang Gaza meletus berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya 231 kanak-kanak terkorban di Lubnan.
Beliau turut menegaskan kanak-kanak di Lubnan menghadapi situasi serupa dengan apa yang berlaku di Gaza, termasuk serangan ke atas infrastruktur penting seperti kemudahan perubatan.
“Lebih 200 petugas kesihatan telah terbunuh dan 300 lagi cedera sejak 15 November,” katanya, sambil menambah serangan terhadap kemudahan perubatan semakin meningkat. -AGENSI