GAZA: Serangan tanpa henti di Gaza sejak 7 Oktober, tahun lalu, mengorbankan lebih 1,000 doktor dan jururawat.
Pihak berkuasa tempatan malah melaporkan lebih 310 kakitangan perubatan lain ditangkap, diseksa dan dihukum mati di penjara.
Tentera Israel turut menghalang kemasukan bekalan perubatan, petugas kesihatan serta ratusan pakar bedah ke Gaza.
“Hospital menjadi sasaran terbuka tentera Israel yang mengebom, mengepung dan menyerbu kemudahan ini.
“Tentera Zionis tergamak membunuh doktor dan jururawat serta mencederakan mereka melalui siri serangan,” menurut kenyataan tersebut.
Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya turut cedera dalam serangan udara Israel di hospital itu dan kawasan sekitarnya di utara Gaza, Sabtu lalu.
Israel melancarkan pembunuhan besar-besaran di Gaza, sehingga mengorbankan lebih 44,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 104,500 orang.
Kecaman antarabangsa semakin meluas di seluruh dunia memasuki tahun kedua siri kekejaman berkenaan.
Serangan dan sekatan bantuan kemanusiaan oleh tentera Israel dilihat sebagai usaha yang sengaja untuk memusnahkan populasi di Gaza.
Khamis lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, susulan serangannya di Gaza. -AGENSI