GAZA: Seramai 120 orang terbunuh dalam tempoh dua hari di Gaza selepas Israel memperhebatkan kempen pengeboman di seluruh wilayah yang terkepung itu.
Pegawai Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh apabila sebuah kediaman diserang semalaman di pinggir bandar Zeitoun di Gaza, pada Sabtu.
Kematian lain turut direkodkan di tengah dan selatan Gaza.
Serangan udara Israel juga menyebabkan kerosakan besar pada Masjid al-Faruq di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, berdasarkan rakaman video media sosial yang disahkan oleh al Jazeera.
Tentera Israel juga memperhebatkan serangan darat dan pengeboman di utara Gaza, dengan sebuah hospital terakhir yang beroperasi diserang sehingga mencederakan beberapa pekerja.
Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safia berkata, tentera Israel menyasarkan pintu masuk ke kawasan kecemasan beberapa kali serta halaman, penjana elektrik dan pintu hospital.
Pengeboman itu mengakibatkan 12 kecederaan dalam kalangan doktor, jururawat dan kakitangan pentadbiran dalam zon kecemasan dan penerimaan tetamu.
Tentera Israel menolak dakwaan itu atas alasan kononnya tidak menyedari serangan di kawasan Hospital Kamal Adwan.
Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan hospital hanya mempunyai baki minyak selama kira-kira dua hari, sebelum pihaknya perlu menyekat perkhidmatan.
Tentera Israel mengenakan kepungan dan melancarkan serangan darat yang diperbaharui di utara Gaza, bulan lalu.
Tindakan itu kononnya bertujuan menghalang pejuang Hamas melancarkan lebih anyak serangan dan berkumpul semula di kawasan itu.
Awal minggu ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran hampir tiada bantuan dihantar ke utara Gaza, sejak serangan semula Israel, ketika kumpulan bantuan dan pakar keselamatan makanan memberi amaran tentang kebuluran di kawasan itu.