BEIRUT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijangka mengumumkan gencatan senjata antara kumpulan bersenjata Hezbollah dan Israel dalam tempoh terdekat, menurut empat sumber kanan Lubnan, semalam.
Jurucakap Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby berkata, kedua-dua pihak hampir mencapai kata sepakat, tetapi menegaskan tiada yang pasti sehingga segalanya dipersetujui.
Macron turut memaklumkan rundingan gencatan senjata mencatat kemajuan besar.
Di Baitulmuqaddis, seorang pegawai kanan Israel memaklumkan Kabinet negara itu akan bermesyuarat hari ini bagi meluluskan perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, serangan udara besar-besaran Israel ke atas kawasan selatan Beirut yang dikuasai Hezbollah terus berlaku semalam, ketika Israel meneruskan operasi ketenteraan yang dilancarkan sejak September lalu.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu enggan mengulas mengenai laporan Israel dan Lubnan telah bersetuju dengan teks perjanjian tersebut.
Namun, pegawai kanan Israel menyatakan mesyuarat Kabinet bertujuan meluluskan teks perjanjian tersebut.
Namun, Lubnan sebelum ini membantah klausa yang memberikan hak sedemikian kepada Israel.
Pentadbiran Biden, yang bakal berakhir pada Januari depan, menumpukan usaha diplomasi bagi menamatkan konflik di Lubnan, meskipun rundingan untuk menghentikan perang di Gaza masih buntu.
Diplomasi antara Hezbollah dan Israel kini berpaksikan kepada Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang menamatkan perang besar antara kedua-dua pihak pada 2006.
Resolusi itu mengarahkan Hezbollah berundur 30 kilometer dari sempadan Israel, sementara tentera Lubnan ditempatkan di kawasan sempadan tersebut. -AGENSI