Korea Selatan dikritik uruskan sisa plastik - Utusan Malaysia

Korea Selatan dikritik uruskan sisa plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan menerima pengiktirafan antarabangsa atas usaha kitar semula, namun pelbagai pihak mempersoalkan pendekatan negara itu dalam pengurusan sisa plastik serta kelemahan yang perlu diberi perhatian.

Negara itu mendakwa telah mengitar semula 73 peratus sisa plastiknya, jauh mengatasi Amerika Syarikat yang hanya mencapai sekitar lima hingga enam peratus.

Malah, majalah MIT Technology Review menilai Korea Selatan sebagai antara ‘ekonomi kitar semula terbaik dunia’ dan satu-satunya negara Asia dalam Indeks Masa Depan Hijau 2022.

Namun, angka itu dipersoalkan kerana menurut penyelidik dari Climate Change Center, Seo Hee-won, kadar tersebut hanya merangkumi plastik yang dihantar ke pusat saringan kitar semula, tanpa mengambil kira sama ada ia benar-benar dikitar semula, dibakar atau dilupuskan di tapak pelupusan.

Greenpeace pula menganggarkan hanya 27 peratus sisa plastik Korea Selatan benar-benar dikitar semula.

Data menunjukkan penggunaan plastik di Korea Selatan meningkat daripada 9.6 juta tan pada 2019 kepada 12.6 juta tan pada 2022, sebahagiannya akibat lonjakan pembungkusan plastik untuk makanan dan barangan pesanan dalam talian semasa pandemik.

Pengkritik turut menganggap dasar kerajaan Korea Selatan terhadap produk plastik guna tunggal sebagai tidak konsisten.

Pada November 2023, peraturan larangan plastik seperti penyedut minuman dan beg plastik dilonggarkan, meskipun ia baru diperketatkan setahun sebelumnya.

“Korea Selatan tidak mempunyai matlamat jelas untuk mengurangkan penggunaan plastik secara keseluruhan,” kata Pengarah Institut Ekonomi dan Kitar Semula Sumber, Hong Su-yeol.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol semasa Sidang Kemuncak G20 baru-baru ini, berkata, usaha untuk mengurangkan pencemaran plastik perlu dibuat demi pembangunan mampan.

Kerajaan membenarkan syarikat seperti LG Chem menggunakan kaedah pirolisis untuk mengitar semula plastik kepada naphtha, bahan asas utama dalam industri petrokimia.

Langkah ke arah perjanjian global bakal menentukan komitmen Korea Selatan dalam menangani isu plastik kerana negara itu akan menjadi tuan rumah bagi perbincangan INC-5 di Busan, minggu depan.

Persidangan itu dijangka membincangkan sama ada perjanjian baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengehadkan pengeluaran plastik sejak awal. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya