PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad diarah menjalankan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan membabitkan FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) bernilai RM43.9 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan tegas tersebut menjadi sebahagian tindakan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik dalam 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Selaku pengerusi, saya telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.
“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.
“Tindakan ini juga bagi memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” katanya di X(Twitter), hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memberi respons dengan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang tersebut.
Kelmarin, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.- UTUSAN