KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengenal pasti beberapa perkara yang menyukarkan kontinjen negara merealisasikan sasaran pingat pada Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, Ogos lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi mesyuarat bedah siasat hari ini berkata, kekurangan pakar psikologi sukan, tahap disiplin atlet, ketiadaan jurulatih berprestasi tinggi menjadi faktor kepada kontinjen negara gagal mencapai sasaran pada temasya terbabit.
“Antara perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan penyediaan perkhidmatan sains sukan kepada atlet dan sukan, keperluan pasukan ISN (Insitut Sukan Negara) yang khusus kepada sukan, kumpulan atlet pelapis untuk mengantikan atlet yang sudah berumur dan kekurangan atlet wanita.
“Bagaimanapun, yang paling penting sekarang, kami mahu menambah pakar psikologi untuk atlet. Di ISN (Institut Sukan Negara) kini ada tujuh pakar. Kita akan mencari dana untuk memastikan cukup untuk membantu atlet kita,” kata Hannah kepada pemberita ketika sidang akhbar sesi mesyuarat bedah siasat Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Sementara itu, Hannah turut mendedahkan mesyuarat terbabit bertujuan untuk menyelesaikan perkara yang telah dibangkitkan dan harus diambil tindakan susulan oleh wakil dan pemegang taruh yang terlibat untuk ke arah Sukan Olimpik dan Paralumpik Los Angeles (LA) 2028.
“Kita akan mulakan awal empat tahun dari sekarang. Isu-isu kepakaran tenaga kerja di ISN dan MSN yang diperlukan, kita mahu sebaik mungkin selesai pada tahun depan. Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah sekali gus, namun akan cuba satu per satu,” ujarnya.
Kontinjen Olimpik Paris 2024 gagal mencapai sasaran untuk membutirkan pingat emas pertama negara selepas membawa pulang dua gangsa manakala skuad Paralimpik negara yang mensasarkan empat emas, sebaliknya hanya membawa dua emas, dua perak serta satu gangsa.
Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan wakil dari kem sukan berbasikal trek serta badminton yang hadir hari ini memohon maaf atas kegagalan atlet mereka menjelmakan pingat emas seperti yang disasarkan sebelum Olimpik Paris 2024. – UTUSAN