SEPANG: Kegiatan penyeludupan rokok putih bernilai hampir RM4.48 juta berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi lima operasi berasingan bulan lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, tiga daripada kes berkenaan dikesan di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sementara dua lagi kes masing-masing di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dan sebuah gudang di Selat Klang Utama.
Menurut beliau, secara keseluruhan JKDM merampas sejumlah 5.82 juta batang rokok putih pelbagai jenama yang bernilai RM576,448 dengan anggaran selepas cukai RM3.89 juta.
“Pada 27 September lalu, pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah gudang di Selat Klang Utama dan menemukan sejumlah 960,000 batang rokok putih.
“Menerusi operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan dan siasatan mendapati kesemua rokok putih itu dipercayai disimpan secara sementara di gudang berkenaan sebelum ia dihantar ke lokasi berbeza di Semenanjung menggunakan lori syarikat penghantaran,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Norlela berkata, pemeriksaan harian ke atas tiga buah Cargo Terminal Operator (CTO) di FCZ KLIA pada 2 dan 7 Oktober lalu menemukan sejumlah 752,200 batang rokok putih.
Ia dipercayai untuk dieksport ke rantau Oceania dan Eropah berdasarkan penemuan alamat destinasi akhir pada dokumen.
Jelasnya, operasi pada 16 Oktober lalu pula berjaya membawa kepada penemuan 4.16 juta batang rokok putih di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
Kata beliau, rokok putih yang dirampas itu dipercayai untuk diimport masuk ke dalam negara ini berdasarkan alamat destinasi akhir pada dokumen Bill of Lading (BL) yang ditemukan.
Dalam pada itu, Norlela berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, aktiviti penyeludupan rokok putih itu menggunakan pelbagai modus operandi antaranya mengikrar dagangan dalam BL dengan maklumat Port of Discharge di Pelabuhan Klang serta menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo.
“Selain itu, modus operandi yang digunakan ialah mengimport rokok putih melalui Pelabuhan Klang dan dibawa keluar ke kawasan utama kastam (KUK), seterusnya dibawa ke gudang sebagai tempat penyimpanan atau transit sebelum dihantar ke lokasi penghantaran ditetapkan.
“Ada yang mengikrar dagangan dalam invois sebagai papan pemotong, kotak kertas, beg kertas beli-belah dan tekstil.
“Dagangan juga cuba diseludup keluar bersama-sama bungkusan mengandungi surat khabar lama dan selimut untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Zon Bebas 30(1) Akta Zon Bebas 1990, Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksesais 1976. – UTUSAN