MILWAUKEE : Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris, memaklumkan beliau sentiasa mengenang keluarganya pada detik-detik akhir hari pilihan raya, terutama ibunya, Shyamala Gopalan Harris.
Harris, yang dibesarkan oleh ibunya, seorang penyelidik kanser payudara yang meninggal dunia pada 2009, sering berbicara tentang pengaruh ibunya ketika menerima pencalonan sebagai Naib Presiden Parti Demokrat, musim panas lalu.
“Saya cuba untuk terus fokus pada tugas yang ada. Saya menghubungi orang ramai di seluruh negara untuk mengingatkan mereka supaya keluar mengundi kerana pusat mengundi masih dibuka untuk beberapa jam lagi, tetapi saya tetap terkenang.
“Jadi, saya ada keluarga bersama tetapi saya tetap terkenang ibu saya. Saya terkenang bapa saudara dan ibu saudara yang membesarkan kami dan kini mereka sudah tiada. Namun, saya tahu mereka sedang memerhati,” katanya kepada stesen radio milik komuniti Afrika Amerika, WNOV The Voice, di Wisconsin.
Ketika ditanya mengenai pengundi yang mungkin keberatan menyokong seorang wanita sebagai pemimpin tertinggi negara, Harris menegaskan kelayakannya.
“Saya telah menjadi Naib Presiden selama empat tahun, bertemu dengan lebih 150 pemimpin dunia, banyak kali bertemu mereka berkali-kali. Saya telah merundingkan perjanjian antara Amerika Syarikat dan sekutu kami di seluruh dunia.
“Saya meluangkan banyak masa di Bilik Situasi, berkomunikasi dan bekerjasama dengan ketua tentera dan komuniti perisikan kita,” ujarnya, sambil merujuk kepada pengalamannya sebagai pendakwa raya.
Harris juga menyeru kepada para pendengar untuk keluar mengundi bagi memilih calon yang layak untuk memimpin negara Uncle Sam itu. -AGENSI