AMMAN: Angkatan Tentera Udara Diraja Jordan melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan terbaharu kepada rakyat Palestin di selatan Semenanjung Gaza, pada Selasa.
Misi bantuan ini dilaksanakan ketika agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin memaklumkan bekalan kecemasan yang memasuki kawasan berkenaan semakin berkurangan sejak beberapa bulan lalu.
Menurut laporan Agensi Berita Jordan, pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Jordan menggugurkan peti makanan, air minuman dan bekalan perubatan.
Sejak konflik tercetus pada Oktober tahun lalu, Angkatan Tentera Jordan berjaya melengkapkan 123 penghantaran udara bantuan kecemasan ke Semenanjung Gaza, selain 266 penghantaran sebagai sebahagian usaha bersama negara seperti Perancis dan United Kingdom.
Pegawai kemanusiaan menyifatkan konvoi darat sebagai kaedah paling berkesan untuk menghantar bekalan kecemasan bagi mengurangkan krisis kemanusiaan.
Namun, Jordan terpaksa menggunakan penghantaran udara akibat sekatan akses oleh tentera Israel ke Gaza yang telah berkuat kuasa sejak tahun lalu.
Pegawai Kecemasan dari Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Louise Wateridge memberi amaran bantuan yang memasuki Gaza adalah yang paling rendah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Isnin lalu, semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Riyadh, Raja Abdullah dari Jordan menyeru agar diwujudkan ‘jambatan kemanusiaan’ untuk memecahkan kepungan yang dikenakan ke atas rakyat Gaza serta menyalurkan bantuan kecemasan ke kawasan yang sedang menghadapi bencana kemanusiaan.
Baginda turut menegaskan mewujudkan horizon politik yang sebenar untuk menyelesaikan isu Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya jalan untuk mencapai keamanan, kestabilan, dan keselamatan di rantau tersebut. -AGENSI