PETALING JAYA: Bintang No. 9 dunia, Li Shi Feng menyekat hajat pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk merangkul gelaran sulung pada final Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, semalam.
Wakil China itu mempamerkan persembahan dominan dan tidak membuka walau sedikit ruang kepada Jun Hao yang menghuni ranking ke-31 dunia mencipta kebangkitan apabila tewas 10-21, 13-21 dalam masa 44 minit.
Kekalahan tersebut turut menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pemain semakin menjarak kepada 4-0 berpihak kepada Shi Feng.
Jun Hao yang kali pertama menjejakkan kaki ke perlawanan akhir pada kejohanan berstatus Super 500 membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$15,960 (RM71,405) serta pingat perak.
Walaupun hanya mampu muncul sebagai naib juara, tetapi, perjalanan anak jati Kuala Lumpur itu ke pentas akhir wajar dipuji selepas membenam jaguh-jaguh dunia yang menghuni ranking lebih tinggi daripadanya.
“Ini percapaian tertinggi untuk saya kerana tidak pernah capai setinggi ini. Satu pengalaman yang menarik untuk diri saya. Saya harap dapat meneruskan usaha ntuk mencapai keputusan yang lebih positif dan konsisten selepas ini.
“Perlawanan akhir kali ini, saya lebih sabar menujunya dan saya sudah buat apa yang saya mampu. Sekarang ini saya akan lalu proses pemulihan dahulu dan lihat bagaimana minggu depan,” kata Jun Hao.
Jun Hao memulakan langkahnya pada peringkat 32 terbaik dengan mengetepikan pemain sedang meningkat naik India, Lakshya Sen, sebelum menyingkirkan dua wakil tuan rumah, Koki Watanabe serta Kodai Naraoka masing-masing di pusingan kedua dan suku akhir.
Pada separuh akhir, Jun Hao berhempas pulas menewaskan Jonatan Christie dari Indonesia 10-21, 21-18, 22-20 dalam aksi yang berlanjutan selama lebih sejam.
Berjaya mara sehingga ke final merupakan satu pencapaian yang baik buat anak muda berusia 25 tahun itu, cuma rentak lebih konsisten dan permainan berkualiti tinggi diperlukan Jun Hao pada kejohanan akan datang khususnya ketika berdepan jaguh China.-UTUSAN