GEORGE TOWN : Jenazah dua beranak yang maut akibat ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam semalam telah dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, kira-kira pukul 7.20 malam tadi.
Jenazah Siti Zulaila, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, seterusnya dituntut oleh ahli keluarga mereka selepas proses bedah siasat kedua-dua jenazah selesai.
Difahamkan, jenazah dua beranak itu akan disolatkan di Masjid Tuan Guru, di Tanjong Tokong sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong selepas solat Isyak, malam ini.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari semalam, seorang bapa dan anak perempuan masing-masing berumur 62 tahun dan 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam suspek menggunakan sebilah pisau.
Suspek kemudiannya bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut.-UTUSAN