PETALING JAYA: “Tolong berhenti tanya pasal anak.”
Demikian kata pelakon dan pengacara, Janna Nick yang menempelak keras tindakan sesetengah netizen yang meninggalkan komen melampau mengenai soal zuriat.
Janna menerusi sebuah hantaran di Instagram, turut menangis kerana terkesan dengan komen seorang individu yang mendakwa suaminya, Dini Schatzmann terlebih hormon wanita.
“Biasanya saya tak kisah sangat bila orang selalu komen bila nak ada anak. Tetapi komen yang satu ini membuatkan saya sangat terasa. ‘Dini ini mesti hormon perempuan banyak, sebab tu susah nak dapat anak.’
“Sangat kurang ajar! Kami telah lakukan macam-macam cara untuk dapatkan anak. Saya sendiri bertanya pada Allah bila nak beri saya anak. Bila orang tanya saya, saya tak tahu nak jawab apa,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Janna turut mendedahkan dia telah menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada Oktober tahun lalu, namun usaha itu gagal.
“Sewaktu saya buat IVF, saya hanya mampu hasilkan lima telur sahaja. Untuk umur seperti saya, bilangan itu sangat teruk.
“Disebabkan itu saya ubah cara hidup saya, cara kerja saya, cara pemakanan saya. Saya ambil macam-macam ubat, ambil pil hormon sampai badan saya jadi gemuk muka saya naik jerawat. Saya tak pernah ada jerawat sebelum ini.
“Apa sahaja yang saya tak buat? Orang cakap minta ibu mengandung pijak ibu kaki. Saya minta Nabila Razali (penyanyi) pijak ibu kaki saya. Saya terlampau terdesak mahukan anak,” katanya sambil menangis.
Kesal dengan komen tersebut, pelakon drama Pinjaman Syurga itu turut minum susu ikhtiar hamil demi membuktikan dirinya sudah berusaha pelbagai cara untuk mendapatkan cahaya mata kepada netizen.
Janna juga sempat memaklumkan bahawa dia dan Dini tiada sebarang masalah kesihatan dan menyerahkan soal rezeki kepada perancangan Sang Pencipta.
“Apa lagi yang anda mahukan? Janganlah tanya apa-apa lagi. Hanya beri kami masa dan ruang. Janganlah komen benda-benda yang negatif seolah-olah kami berdua ada masalah. Kami berdua tiada masalah ” jelasnya.
Untuk info, Janna dan Dini telah berkahwin pada 10 Jun 2023.-UTUSAN