Jangan salahkan pemain - Nafuzi

Jangan salahkan pemain – Nafuzi

KEDAH Darul Aman FC -IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain meminta mana-mana pihak tidak menyalahkan anak-anak buahnya susulan kekalahan kedua berturut-turut pasukan itu termasuk ketika bertemu Selangor FC di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Menurut penerima anugerah jurulatih terbaik kebangsaan 2022 itu, anak-anak buahnya telah melakukan yang terbaik di sebalik keadaan fizikal dan mental mereka yang kini berdepan pelbagai masalah di luar padang termasuk tunggakan gaji yang belum selesai.

Malah katanya, beliau berterima kasih kepada anak-anak buahnya kerana masih sanggup untuk turun beraksi buat masa sekarang.

“Dalam perlawanan menentang Selangor ini, semua orang tahu mengenai kualiti yang ada pasukan itu dan di pihak kami pula, para pemain telah memberikan yang terbaik. Kita harus terima kekalahan ini dan sedar mengapa kita tewas.

“Ketika ini semua pemain harus diberi pujian dan bukan dipersalahkan. Sebaliknya kita perlu berterima kasih kepada mereka kerana masih bermain. Mereka sentiasa fokus beri yang terbaik dalam setiap perlawanan tetapi masalah di luar terlalu banyak hingga saya sendiri tertanya-tanya sampai bila kami harus hadapi situasi ini.

“Dalam keadaan sekarang, saya nak jalankan tugas sebagai jurulatih pun agak sukar ketika pemain masih dibelenggu pelbagai isu dan apabila mereka tampil di padang latihan saja pun, itu sudah mencukupi buat kami,” katanya.

Dalam perlawanan menentang Selangor, Sang Kenari tumpas 1-0 kepada The Red Giant hasil jaringan penyerang muda, Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-46.

Mengulas lanjut Nafuzi mengakui, Selangor merupakan sebuah pasukan yang jauh lebih baik dalam segala aspek termasuk fizikal, kecergasan serta kekuatan pemain hingga membolehkan mereka mengawal tempo permainan.

Keadaan itu katanya berbeza sama sekali dengan perlawanan pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mei lalu, yang menyaksikan aksi lebih seimbang antara kedua-dua pasukan.

“Dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk kami bersaing dengan Selangor. Kami memang mahukan kemenangan terutamanya setelah tewas kepada Sabah FC minggu lalu tetapi masing-masing perlu akur dan agak sukar untuk berdepan mereka dalam situasi sekarang.

“Walau apa pun keadaannya, pemain telah cuba yang terbaik dan saya amat hormati serta bangga dengan mereka. Mereka juga masih penat setelah mengharungi perlawanan dalam tempoh singkat dan kualiti yang ada pada Selangor, jelas berjaya menekan kami untuk mereka mencatat kemenangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya