BEIRUT: Serangan udara Israel terus menggempur beberapa lokasi di Lubnan sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di Tyre sehingga menyebabkan kemusnahan besar.
Bangunan komersial dan kediaman di Beirut serta kawasan sekitar turut menjadi sasaran, dengan Israel mendakwa serangan tersebut tertumpu di kubu kuat Hezbollah.
Arahan pemindahan dikeluarkan untuk kawasan selatan ibu negara, namun serangan turut dilaporkan berlaku hampir dengan markas polis dan taman awam terbesar Beirut.
Menurut wartawan Al Jazeera, serangan kali ini lebih kuat, lebih merosakkan dan berlaku lebih kerap tanpa amaran, sehingga menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan diri daripada peluru berpandu Israel.
Walaupun terdapat perkembangan diplomatik mengenai kemungkinan gencatan senjata antara Hezbollah dan Israel, namun pertempuran terus memuncak.
Pada hujung minggu lalu, serangan Israel di Beirut mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang, sementara Hezbollah melancarkan 250 roket ke arah Israel sekaligus merupakan serangan terbesar mereka setakat ini.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lebih 3,700 rakyatnya telah terkorban sejak Oktober 2023, manakala lebih sejuta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat serangan.
Di pihak Israel, 45 orang awam dan 73 anggota tentera dilaporkan terkorban dalam serangan Hezbollah di Israel utara, Dataran Tinggi Golan dan pertempuran di selatan Lubnan. -AGENSI