Israel serang jambatan di sempadan Syria-Lubnan - Utusan Malaysia

Israel serang jambatan di sempadan Syria-Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Saluran televisyen rasmi Syria melaporkan serangan udara Israel menyasarkan beberapa jambatan di wilayah Qusayr berhampiran sempadan Lubnan semalam, menyebabkan dua orang awam cedera.

Kementerian Pertahanan Syria memaklumkan serangan tersebut melibatkan beberapa jambatan utama di kawasan itu, termasuk Al-Jubaniyeh, Al-Daf, Arjoun dan Pintu Gerbang Al-Nizariyeh, sehingga menyebabkan kerosakan.

“Musuh Israel melancarkan serangan udara dari arah wilayah Lubnan, menyasarkan laluan lintasan yang sebelum ini telah dihentam,” kata kenyataan kementerian tersebut.

Menurut laporan awal Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain, dua rakyat Syria yang bekerja dengan Hezbollah terkorban dalam serangan itu, manakala lima lagi cedera.

SOHR turut memaklumkan serangan tersebut menyasarkan satu pos rasmi di kawasan sempadan Qusayr serta enam jambatan di Sungai Orontes berhampiran sempadan Lubnan.

Sejak konflik antara Israel dan Hezbollah di Lubnan bertukar menjadi perang berskala penuh pada September lalu, negara Yahudi tersebut meningkatkan serangan ke atas sasaran di Syria.

Israel menuduh Hezbollah menggunakan laluan lintasan antara Syria dan Lubnan untuk menyeludup senjata.

Serangan Israel ke atas laluan darat antara Syria dan Lubnan menyebabkan laluan tersebut tidak lagi beroperasi, menjejaskan pergerakan penduduk yang melarikan diri dari konflik.

Krisis ini terus memburukkan situasi kemanusiaan di rantau tersebut, dengan kerosakan infrastruktur semakin parah akibat konflik yang berlanjutan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya