NEW YORK: Israel kini berusaha untuk ‘mengosongkan’ utara Gaza dengan melancarkan serangan yang bakal mencetus risiko kekejaman terburuk di kawasan itu.
Penolong Setiausaha Agung PBB untuk Hak Asasi Manusia, Ilze Brands Kehris berkata, Israel sedang memaksa penduduk Palestin berpindah ke selatan wilayah itu, namun serangan berterusan ke atas tempat perlindungan dan bangunan kediaman membunuh sejumlah besar orang awam.
“Serangan terhadap ‘zon selamat’ membuktikan tiada tempat di Gaza yang selamat,” tegasnya.
Kemusnahan infrastruktur awam Gaza oleh tentera Israel termasuk kemudahan yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa seperti hospital, sekolah, bekalan kuasa, air dan kumbahan turut menyumbang kepada risiko kebuluran.
Tambahnya, tentera rejim telah membunuh ratusan kakitangan perubatan, pegawai polis awam, wartawan dan pekerja bantuan kemanusiaan, termasuk lebih 220 kakitangan PBB.
Malah, ribuan rakyat Palestin turut dibawa ke Israel, kebanyakannya diikat, ditutup mata dan tidak dibenarkan berkomunikasi.
“Terdapat gangguan berterusan terhadap kemasukan dan pengagihan bantuan kemanusiaan, yang jatuh ke tahap terendah dalam setahun.
“Impak kumulatif lebih setahun kemusnahan di Gaza membawa kesan yang besar. Perkhidmatan asas untuk rakyat Palestin di Gaza telah musnah. Keadaan khususnya di utara Gaza, semakin tidak sesuai untuk kehidupan,” tambah Kehris.
Katanya, dalam tempoh lima minggu lalu, serangan dan sekatan Israel di laluan melarikan diri mengakibatkan banyak kematian di utara Gaza, kebanyakannya wanita, kanak-kanak, warga tua, pesakit dan orang kurang upaya.
“Corak dan kekerapan serangan yang dilaporkan ini mencadangkan penyasaran sistematik terhadap lokasi yang diketahui melindungi sejumlah besar orang awam dengan penggunaan senjata yang memberi kesan luas ke atas kawasan berpenduduk padat.
“Tentera Israel juga melakukan serangan berulang kali ke atas tiga hospital utama di kawasan itu dan infrastruktur penting lain, sambil secara tidak sah menyekat kemasukan dan pengedaran bantuan kemanusiaan ke utara Gaza,” tegasnya.
Bercakap semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk membincangkan risiko kebuluran yang semakin meningkat di Gaza, beliau menyifatkan situasi kemanusiaan dan hak asasi manusia rakyat Palestin di seluruh kawasan yang dilanda bencana itu sebagai ‘malapetaka’.
Mesyuarat itu menyusuli amaran yang dikeluarkan pada hujung minggu oleh Jawatankuasa Semakan Kebuluran Klasifikasi Fasa Makanan Bersepadu, yang mengatakan terdapat kemungkinan besar kebuluran akan berlaku di seluruh kawasan utara Semenanjung Gaza.
Badan itu turut menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera dalam tempoh terdekat dan bukannya menunggu beberapa minggu lagi untuk menangani ancaman itu.-AGENSI
ISRAEL SERANG SEKOLAH
Dalam perkembangan lain, tentera Israel bertindak menyerang Sekolah Mahdia al-Shawa di Beit Hanoon yang melindungi ratusan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Rakaman video itu disiarkan oleh Pusat Maklumat Palestin yang menunjukkan kepulan asap di premis yang terbakar itu.
Serangan itu berlaku selepas tentera Israel mengarahkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Beit Hanoon supaya melarikan diri ke selatan, Selasa lalu.
Sebahagian rakyat Palestin menceritakan serangan ngeri di bandar utara dan memaklumkan tentera Israel membenarkan bekalan bantuan ke beberapa kawasan hanya untuk menyerang tempat yang sama, pada hari berikutnya.