Projek inovasi sistem pengesanan dan amaran awal kebocoran gas ammonia yang dihasilkan pasukan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, Pahang berjaya meraih pingat emas di pentas antarabangsa Taiwan Innotech Expo 2024, baru-baru ini.
Sistem yang dibangunkan itu turut merangka kaedah ventilasi pembebasan gas ammonia yang berkemampuan mengurangkan risiko keracunan gas yang berpotensi mengakibatkan maut dan kebakaran, khususnya di kawasan perindustrian.
Pada sesi penilaian yang berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober lalu di Taiwan World Trade Centre, Taipei itu, projek berkenaan menambat hati juri antarabangsa khususnya pada faktor keberhasilan inovasi serta impak besar pada pengurusan bencana dan kawalan alam sekitar khususnya untuk kegunaan industri.
Pasukan SBPI Temerloh diketuai pelajar tingkatan empat, Muhammad Darwisy Ammar, 16, bersama lima rakannya, Aqif Iman, 15, Hanani Bahiyah, 15, Aliah Qaisarah, 15, Muhammad Adam Qayyid, 13, dan Mohd Faris Ikmalludin, 13.
Pasukam berkenaan yang mendapat bimbingan guru sekolah itu, Mohammad Izzwan Zahanuddin bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menewaskan penginovasi hebat lain yang mengumpulkan hampir 1,100 projek inovasi melibatkan penyertaan domestik dan antarabangsa daripada sektor industri, agensi kerajaan, penyelidikan serta institusi pendidikan.
Menurut Mohammad Izzwan, pencapaian yang diperoleh ini adalah satu pencapaian tertinggi semenjak berkecimpung dalam dunia inovasi.
Lebih membanggakan, usaha dan ketekunan murid-murid sendiri dalam memastikan persembahan terbaik dapat direalisasikan ketika membuat pameran di expo berkenaan.
“Proses khidmat nasihat serta bimbingan projek bermula seawal bulan Jun dan mendapat kerjasama penuh daripada sekolah serta pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKTEE), Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah (UMPSA) yang dibarisi oleh Dr. Noorazliza Sulaiman, Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar danMuhamad Ridzuan Radin Muhamad Amin.
“Ini bagi memastikan projek yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri terkini dan latihan yang lebih kompeten kepada murid-murid tersebut,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.
Sementara itu, ketua pasukan tersebut, Muhammad Darwisy turut berkongsi cabaran-cabaran dan kekangan semasa menyiapkan projek ini dan membuat persediaan ke pertandingan tersebut.
Katanya, cabaran terbesar ialah memastikan setiap ahli kumpulan memberi komitmen sepenuhnya dan sentiasa mempunyai semangat untuk mencipta kejayaan tertinggi di Gpertandingan berprestij itu.
“Cabaran sebagai murid sudah pasti tidak lepas daripada jadual yang sangat padat, ditambah pula seminggu sebelum berangkat, kami menduduki ujian penilaian yang sememangnya menjadi satu pengorbanan terbesar dalam membahagikan masa sebaik mungkin,” katanya.
Pameran Antarabangsa Taiwan Innotech Expo ini melibatkan kerjasama 11 agensi kerajaan Taiwan, Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) dan Industrial Technology Research Institute (ITRI).
Dengan tema Explore Cutting-Edge Technologies and Witness Innovation Power, pameran ini merupakan platform kepada pelbagai negara dalam menampilkan projek inovasi masing-masing.
Penglibatan murid sekolah di peringkat antarabangsa seperti ini amat digalakkan dan bagi pihak SBPI Temerloh, mereka mendapat sokongan dan galakkan penuh daripada Pengetua, Ku Zaleha
Ku Saad sekali gus menyuntik semangat murid-murid untuk memastikan pencapaian terbaik.
Ia sekali gus dapat mengangkat nama sekolah di persada antarabangsa dan juga nama negara di pentas dunia.
Semoga dengan kejayaan meraih emas pada pameran antarabangsa ini menjadi titik tolak kepada murid-murid lain di samping merealisasikan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.
Ia seterusnya menjadi pemangkin melahirkan murid-murid yang berfikiran kreatif dan kritis yang bakal menjadi tunjang pembangunan negara.