JAKARTA: Indonesia bertegas akan sentiasa memberi komitmen sepenuhnya terhadap Perjanjian Paris mengenai kawalan perubahan iklim.
Duta Khas Presiden untuk Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29), Hashim S. Djojohadikusumo berkata, beberapa program disediakan untuk memperkukuh tindakan mitigasi perubahan iklim.
Jelasnya, ini termasuk pembangunan tenaga baharu dan boleh diperbaharui (NRE), penggunaan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), serta pemulihan 12.7 juta hektar hutan bagi menyokong keselamatan makanan.
“Presiden, Prabowo Subianto komited untuk meneruskan perjanjian yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu,” katanya ketika merasmikan Pavilion Indonesia di COP29 di Baku, Azerbaijan.
Beliau memaklumkan pentadbiran Prabowo juga menyediakan program baharu, antaranya pembangunan 100 gigaton (GT) tenaga, termasuk 75 GT daripada NRE melalui kuasa angin, hidro, geoterma, solar, dan loji kuasa nuklear.
Mengenai nilai ekonomi karbon, Djojohadikusumo memaklumkan Indonesia mempunyai simpanan kredit karbon sebanyak 577 juta tan untuk ditawarkan kepada negara-negara dan pihak berkepentingan bagi menyokong pembiayaan dalam mengawal perubahan iklim di Indonesia.
Selain itu, Prabowo bersetuju untuk menjalankan pemulihan besar-besaran hutan yang terdegradasi dengan tetap mengambil kira biodiversiti, tambahnya.
Pada majlis sama, Menteri Kehutanan, Raja Juli Antoni mengajak semua pihak, termasuk pemilik perniagaan untuk menjaga kelestarian hutan sebagai sumber kesejahteraan masyarakat.
Pavilion Indonesia di COP29 mempunyai tiga objektif utama, salah satunya adalah untuk mempamerkan tindakan iklim Indonesia kepada dunia sebagai sebahagian daripada diplomasi, kata Menteri Alam Sekitar, Hanif Fasiol Nurofiq.
Pavilion itu juga bertujuan untuk mempamerkan program kawalan perubahan iklim yang dilaksanakan Indonesia dengan penglibatan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Ia juga berfungsi sebagai platform untuk meneroka idea-idea baharu dan membina kerjasama bagi memperkukuh ketahanan iklim di Indonesia.
Bertemakan ‘Sustainably Stronger Together,’ pavilion tersebut akan dibuka hingga 21 November depan, semasa acara COP29 di Baku, Azerbaijan. -AGENSI