KUALA LUMPUR: Kedutaan Russia di negara ini menganjurkan program ‘Salun Sastera dan Muzik Russia di Malaysia’ bagi membantu orang ramai menghargai kekayaan, kepelbagaian bahasa dan budaya di antara kedua-dua negara.
Projek antarabangsa itu dilaksanakan oleh Persatuan Ibu Bapa Kebangsaan dengan sokongan Kementerian Pendidikan Persekutuan Russia.
Acara yang berlangsung 14 November lalu, berlangsung meriah dengan tetamu dapat menikmati muzik klasik komposer terkenal Russia, S. Rachmaninov serta persembahan tarian kebangsaan Russia.
Acara bacaan puisi Russia dan Melayu juga turut dideklamasikan oleh pelakon teater tempatan, Chekem.
Acara global itu juga turut dianjurkan di negara-negara lain yang mempunyai hubungan dengan Russia dan ia adalah platform interaktif untuk memantapkan jalinan antara dua negara.
Salun Sastera dan Muzik ialah tempat seni dan budaya berkumpul. Interaksi sedemikian berupaya mengukuhkan hubungan antarabangsa dan persefahaman antara orang ramai.