BEIRUT: Kumpulan Hezbollah mendakwa berjaya memusnahkan enam kereta kebal milik tentera Israel di kawasan sempadan selatan Lubnan, semalam.
Agensi Berita Nasional (NNA) memaklumkan pertempuran darat sedang berlangsung hebat di beberapa kawasan di selatan Lubnan, selepas tembakan kecil sejak dua bulan lalu bertukar menjadi peperangan besar.
Di kawasan Bayada, sebuah kampung kurang 10 kilometer dari sempadan, NNA melaporkan konvoi 30 kenderaan tentera Israel sedang berundur ke kawasan pedalaman selepas beberapa kereta kebal mereka dimusnahkan oleh pejuang Hezbollah.
Dalam satu kenyataan, Hezbollah menyatakan pihaknya memusnahkan lima kereta kebal Israel di pinggir timur Bayada, termasuk satu yang cuba menyelamatkan kereta kebal lain yang telah hancur.
Kenyataan berasingan pula menyebut, sebuah lagi kereta kebal Merkava dimusnahkan di kawasan Deir Mimas yang menghadap bahagian utara Israel.
Pada Sabtu lalu, NNA memaklumkan tentera Israel cuba menembusi kawasan Bayada berhampiran bandar Tyre dalam usaha mengepung kawasan Naqura, lokasi penempatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak 23 September lalu, Israel melancarkan kempen serangan udara besar-besaran di Lubnan, terutamanya ke atas kawasan kubu kuat Hezbollah di selatan, timur dan selatan Beirut, sebelum menghantar pasukan darat merentasi sempadan.
Peperangan itu tercetus selepas setahun berbalas tembakan kecil, yang diperhebatkan oleh sokongan Hezbollah terhadap sekutunya, Hamas, susulan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan peperangan di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, konflik itu telah meragut sekurang-kurangnya 3,754 nyawa di Lubnan sejak Oktober 2023, dengan kebanyakannya direkodkan sejak September.
Di pihak Israel, pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 82 askar dan 47 orang awam terkorban. -AGENSI