PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya mahu mengekalkan rekod bersih untuk dua perlawanan antarabangsa pada kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kali ini.
Selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Laos, skuad kendalian Pau Marti Vicente mahu memastikan India menjadi ‘mangsa’ seterusnya pada pertemuan di Hyderabad malam ini.
Meskipun tanpa tiga tonggak iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi yang dipanggil pulang ke pangkuan kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT), ia tidak boleh dijadikan alasan untuk skuad kebangsaan tidak meraih keputusan positif.
Kemenangan 4-2 ke atas pasukan ranking ke-125 dunia itu di Pestabola Merdeka pada tahun lalu tidak boleh dijadikan ukuran kerana kali ini India beraksi di hadapan penyokong sendiri dan tentunya mereka mahu melakar kemenangan.
Pau Marti turut menegaskan aksi ini juga sebagai persediaan buat Malaysia yang berada di ranking ke-133 dunia, menghadapi Piala AFF pada Disember ini dan kelayakan Piala Asia 2027 Mac depan.
Katanya, barisan jurulatih juga mahu menggunakan peluang ini untuk membentuk skuad ‘baharu’ kerana saingan Piala AFF tiada dalam kalendar FIFA dan kemungkinan besar ada pasukan yang tidak memberi pelepasan kepada pemain mereka bagi menyertai kejohanan tersebut.
“Tahun lalu kami bertemu India di laman sendiri dan kami menang 4-2 (Pestabola Merdeka 2023). Saya percaya India mahu bangkit semula dan saya percaya sukar untuk kami bermain di sini. Semestinya kami mahu memperbaiki rekod pasukan kerana kami susah nak menang di tempat lawan.
“Kami jangkakan aksi sukar untuk kami esok(malam ini). Kami juga mempersiapkan pasukan untuk kelayakan Piala Asia 2027 dan Piala AFF yang akan bermula dalam dua minggu tetapi Piala AFF tiada dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) jadi kami akan ada pemain yang berbeza,” kata Pau Marti.