PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan kumpulan jenayah dikenali sebagai Geng Bulat yang mencuri motosikal sebelum menjualnya kepada warga asing pada harga tersangat murah.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, kejayaan itu hasil 10 serbuan di sekitar Sungai Buloh dari 21 hingga 25 Oktober lalu di rumah dan kedai.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut, enam motosikal jenis Honda EX5, dua Yamaha Ego, satu Yamaha Y150ZR, lima Yamaha LC, satu komponen cover set dan lima sport rim disita.
“Hasil serbuan berjaya menangkap tiga suspek lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 19 dan 43 tahun.
“Warga asing yang ditahan merupakan pembeli kepada salah sebuah motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan dalam senarai orang dikehendaki.
Menurut Sasikala Devi, modus operandi Geng Bulat sejak awal tahun itu menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan gelap sekitar tempat letak kenderaan parkir pangsapuri hasil pemantauan sehari sebelum mencurinya.
“Mereka kemudian akan mengumpil slot kunci menggunakan skru, rosakkan kunci pendua dan sambungkan wayar motosikal tersebut,” katanya.
Beliau menambah, motosikal yang dicuri akan dijual kepada warga asing pada kadar harga RM150.
Dengan tumpasnya Geng Bulat, polis berjaya menyelesaikan 13 kes curi motosikal bernilai RM32,000. – UTUSAN