GAZA: Hujan lebat yang melanda Gaza menyebabkan kem pelarian Palestin ditenggelamkan air, memburukkan keadaan penduduk yang sedia terkesan akibat konflik selama 13 bulan.
Cuaca buruk itu menyebabkan khemah penduduk yang dibuat daripada plastik dan kain dihanyutkan air, mengakibatkan ramai hilang tempat berlindung.
Beberapa pelarian meletakkan baldi untuk melindungi tikar daripada kebocoran dan menggali parit bagi mengalirkan air dari khemah mereka.
“Kami tinggalkan utara dan terselamat daripada pengeboman. Tetapi, kami kini berdepan hujan dan cuaca sejuk yang membunuh, saya sakit selama tiga hari,” luah Ahmad, seorang penduduk kem perlindungan Stadium Yarmouk di Bandar Gaza.
“Kami terkesan dengan hujan. Anak-anak dan pakaian basah. Kami tiada apa-apa untuk melindungi diri, hanya khemah yang tinggal,” kata penduduk Beit Lahiya, Um Mohammad Marouf.
Banyak khemah yang digunakan pada peringkat awal perang Israel di Gaza kini rosak dan tidak lagi mampu memberikan perlindungan.
Harga khemah baharu dan kepingan plastik turut melonjak melebihi kemampuan keluarga yang terjejas.
Isnin lalu, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan kira-kira 10,000 khemah hanyut atau rosak akibat ribut, selain merayu bantuan antarabangsa untuk menyediakan khemah kepada keluarga yang dipindahkan bagi melindungi mereka daripada hujan dan kesejukan.
“Menurut pasukan penilaian lapangan kerajaan, sebanyak 81 peratus khemah penduduk yang dipindahkan tidak lagi boleh diguna.
“Daripada 135,000 khemah, 110,000 rosak sepenuhnya dan perlu digantikan segera,” menurut kenyataan itu.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran setengah juta orang di seluruh kawasan terkepung berisiko dilanda banjir.
“Keadaan hanya akan menjadi lebih teruk dengan setiap titisan hujan, bom dan serangan,” kata agensi itu di X.