England dan Wales catat rekod tertinggi anggota polis dipecat

England dan Wales catat rekod tertinggi anggota polis dipecat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: England dan Wales mencatatkan rekod tertinggi dalam pemecatan anggota polis berikutan usaha untuk memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis selepas beberapa skandal yang menggegarkan negara.

Seramai 593 anggota polis dipecat dan disenarai hitam daripada kembali bertugas dalam tempoh setahun sehingga 31 Mac lalu, menurut data yang dikeluarkan oleh College of Policing pada Selasa.

Angka tersebut melibatkan 43 pasukan polis di England dan Wales, yang menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pemecatan tersebut termasuk 74 anggota yang dipecat atas kesalahan seksual dan salah laku, serta 18 lagi kerana memiliki bahan eksploitasi kanak-kanak.

Kesalahan yang paling kerap menyebabkan pemecatan adalah ketidakjujuran dan tingkah laku diskriminasi, dengan masing-masing mencatatkan 125 dan 71 kes.

Peningkatan dalam pemecatan ini berlaku ketika ketua-ketua polis di United Kingdom berusaha untuk mengembalikan kepercayaan masyarakat selepas insiden penculikan dan pembunuhan eksekutif pemasaran berusia 33 tahun, Sarah Everard, pada 2021 oleh Wayne Couzens, seorang anggota yang masih bertugas dalam Pasukan Polis Metropolitan London.

Tahun lalu, seorang lagi anggota Metropolitan, David Carrick, dijatuhkan hukuman penjara minimum 30 tahun kerana melakukan puluhan kes rogol dan kesalahan seksual terhadap 12 wanita.

Penolong Ketua Polis, Tom Harding, yang merupakan Pengarah Piawaian Operasi di College of Policing menyifatkan tingkah laku anggota yang dipecat itu sebagai ‘amat mengecewakan.’

“Namun, angka ini menunjukkan kita mempunyai prosedur yang berkesan dan kukuh untuk mengenal pasti dan menangani anggota yang melakukan kesalahan dengan cepat serta menghalang mereka daripada memegang jawatan dalam pasukan polis pada masa hadapan.

“Angka ini membuktikan tiada ruang untuk melindungi mereka yang gagal memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan di seluruh pasukan polis kita,” kata Harding -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya