GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan seramai enam orang, termasuk empat kanak-kanak mengalami kecederaan dalam insiden serangan di pusat vaksin polio di utara Gaza.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya menerima laporan yang sangat membimbangkan mengenai insiden serangan itu, semasa ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pusat vaksinasi polio berkenaan.
Tanpa menamakan mana-mana pihak yang melancarkan serangan itu, beliau berkata, pusat penjagaan kesihatan utama Sheikh Radwan berada dalam jeda kemanusiaan dipersetujui bagi membenarkan vaksinasi diteruskan.
WHO melancarkan pusingan kedua vaksin polio kanak-kanak yang diperlukan di utara Gaza, pada Sabtu.
Program vaksinasi itu bermula sejak 1 September lalu, dengan kejayaan pusingan pertama, selepas wilayah Palestin yang dikepung mengesahkan kes pertama polio, dalam tempoh 25 tahun.
Tentera Israel menggempur utara Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sebagai sebahagian daripada operasi menumpaskan pejuang Hamas. -AFP