KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow mencipta kejutan selepas menumbangkan pilihan pertama dari Mesir, Youssef Soliman pada perlawanan akhir Piala Skuasy Malaysia 2024, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di gelanggang kaca The Curve Damansara itu, Eain Yow selaku pilihan kedua tidak mempunyai masalah untuk mengatasi Soliman 11-7, 11-7, 11-7 dalam tempoh 50 minit.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu berjaya merangkul gelaran kedua di Malaysia selepas kali terakhir mengungguli Terbuka Malaysia pada 2019.
Eain Yow yang hadir ke gelanggang hari ini dengan penuh keyakinan berkata, kunci utama beliau mengungguli kejohanan terbabit adalah menjadi fokus sepenuhnya sehingga disahkan menjadi juara pada perlawanan akhir itu.
“Permainan tadi sangat bagus. Walaupun semalam saya kata saya sangat yakin untuk bermain hari ini, saya tidak menjangkakan perlawanan tadi sangat bagus lebih baik ketika perlawanan akhir Sukan Asia 2022 di Hangzhou.
“Kalau anda tengok, saya selalunya bermain dengan emosi. Saya menjerit selalunya tetapi hari ini saya beri tumpuan sepenuhnya dan tidak meraikan sehingga perlawanan tamat,” kata Eain Yow kepada pemberita selepas tamat perlawanan di The Curve Damansara, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu membawa pulang wang tunai sebanyak AS$9,025 (RM40,344) manakala naib juara, Soliman mengaut sebanyak AS$5,700 (RM25,480).
Untuk rekod, kali terakhir Eain Yow merangkul gelaran adalah pada Terbuka Jerman 2024, April lalu yang mana menjadi kejuaraan sulungnya selepas menewaskan pemain Switzerland, Dimitri Steinmann 3-1.
Sementara itu, pemain skuasy wanita No. 1 negara, S. Sivasangari menerima tamparan hebat di hadapan penonton negara selepas tewas 3-2 pada perlawanan akhir Piala Skuasy Malaysia 2024 kepada wakil Mesir, Amina Orfi, sebentar tadi.
Turun selaku pilihan utama, juara London Klasik 2024 itu hadir ke gelanggang kaca dengan impian untuk merangkul gelaran di laman sendiri, namun tidak kesampaian selepas pemain berusia 17 tahun itu meragut kejuaraan terbabit.
Eain Yow bersama Sivasangari selepas ini akan meneruskan jelajah mereka ke Terbuka Singapura 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 24 November ini. – UTUSAN