PENNSYLVANIA : Sebanyak dua pusat mengundi berhampiran West Chester, Pennsylvania dibuka sehingga pukul 10 malam bagi memudahkan pengundi yang terjejas akibat ancaman bom, menurut Pengerusi Lembaga Pilihan Raya Daerah Chester, Josh Maxwell.
Menurut perintah mahkamah Chester County, pengundi yang terjejas boleh mengisi kertas undi sementara di lokasi alternatif.
Mereka dibenarkan mengundi walaupun selepas pukul 10 malam, asalkan sudah berbaris sebelum waktu itu.
Ancaman bom yang berlaku menyebabkan bangunan di West Chester yang menempatkan perkhidmatan mengundi dikosongkan, dan pengundi terpaksa dialihkan ke pusat mengundi berhampiran.
Insiden ini adalah salah satu daripada beberapa ancaman bom dilaporkan di beberapa negeri penting pada pilihan raya kali ini.
Georgia dan Arizona turut menerima ancaman bom yang disifatkan sebagai tidak berasas, dengan pegawai tempatan mengesyaki ancaman tersebut berpunca dari Russia.
Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung hari ini melibatkan pertarungan antara calon dari Parti Demokrat, Kamala Harris dan Bekas Presiden AS dari Parti Republikan, Donald Trump.
Kedua-dua calon tersebut perlu menang di negeri-negeri terpenting termasuk Pennsylvania untuk memenangi pilihan raya pada kali ini. -AGENSI