Dron disalah guna intip wanita di hutan - Utusan Malaysia

Dron disalah guna intip wanita di hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Peranti teknologi seperti kamera perangkap, dron dan perakam bunyi yang digunakan untuk memantau hidupan liar seperti harimau dan gajah di India dilaporkan disalah guna untuk mengintip wanita. 

Dapatan itu diperoleh hasil kajian oleh Penyelidik dari Universiti Cambridge, United Kongdom, Trishant Simlai yang diterbitkan Isnin lalu.

Simlai menghabiskan masa selama 14 bulan menemu bual seramai 270 orang yang tinggal berhampiran Rizab Harimau Corbett di utara India.

Menurut Simlai, bagi wanita di kampung sekitar rizab tersebut, hutan telah lama menjadi ruang untuk ‘kebebasan dan ekspresi’ jauh daripada pengawasan lelaki.

Golongan wanita sering menyanyi, berbicara tentang topik tabu seperti seks serta kadang-kadang merokok dan minum ketika mengumpul kayu api dan rumput. 

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environment and Planning itu mendapati, terdapat beberapa insiden dron sengaja diterbangkan ke arah wanita sehingga mereka terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kayu api.

“Kami tidak boleh berjalan di hadapan kamera atau duduk dengan baju Kurti (tunik) diangkat melebihi paras lutut. Kami bimbang gambar kami dirakam dengan cara yang salah,” ujar seorang wanita tempatan seperti dipetik dalam kajian tersebut.

Dalam satu insiden lain, seorang renjer hutan melaporkan foto pasangan yang sedang bermesra di hutan dirakam oleh kamera perangkap, dan laporan segera dibuat kepada pihak polis.

Namun, insiden paling mengejutkan berlaku pada 2017, apabila foto seorang wanita autistik dari kasta terpinggir yang sedang membuang air kecil dirakam secara tidak sengaja oleh kamera perangkap. 

Gambar tersebut kemudian disebarkan oleh pekerja hutan melalui kumpulan WhatsApp dan Facebook tempatan untuk ‘memalukan wanita itu’. 

Bimbang dengan kamera tersebut, segelintir wanita mula memasuki lebih jauh ke dalam hutan, yang mempunyai kepadatan harimau tertinggi di dunia. 

Ia sekaligus meningkatkan risiko dan seorang wanita yang cuba mengelak kamera dilaporkan dibaham harimau, awal tahun ini.

Walaupun teknologi ini diakui sangat membantu dalam usaha pemuliharaan, Simlai menyeru supaya perundingan lebih telus dengan komuniti tempatan diadakan serta latihan sensitif diberikan kepada pekerja hutan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya