TEL AVIV: Sebuah dokumen sulit mengenai Gaza dibocorkan yang melibatkan seorang pembantu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggemparkan Israel termasuk ahli keluarga tebusan yang mendesak gencatan senjata.
Kes ini dilaporkan secara perlahan-lahan disebabkan arahan sekatan berita, namun keputusan Mahkamah Majistret Rishon Le-Zion yang sebahagiannya membenarkan penyiaran kes tersebut memberi gambaran awal kebocoran itu mungkin menjejaskan sumber keselamatan dan usaha Israel untuk membebaskan tebusan.
“Maklumat risikan sulit telah diambil daripada sistem IDF (Tentera Pertahanan Israel) dan dikeluarkan secara haram,” kata keputusan mahkamah tersebut pada Ahad yang mungkin mengakibatkan kerosakan serius kepada keselamatan negara dan risiko kepada sumber maklumat.
Netanyahu menafikan sebarang salah laku oleh kakitangannya dan memaklumkan beliau hanya menyedari mengenai dokumen yang bocor itu melalui pihak media menerusi satu kenyataan akhbar pada Sabtu.
Empat suspek iaitu seorang jurucakap dari kalangan kakitangan Netanyahu dan tiga lagi anggota pasukan keselamatan tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.
Menurut akhbar Haaretz, dokumen tersebut disiarkan oleh akhbar Jerman, Bild, pada 6 September lalu.
Artikel yang dilabelkan sebagai eksklusif itu didakwa menyenaraikan strategi rundingan Kumpulan Hamas, yang telah bertempur dengan Israel di Gaza lebih setahun.
Pada ketika itu, Amerika Syarikat, Qatar, dan Mesir sedang menjadi pengantara rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, termasuk perjanjian untuk pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza.
Namun, rundingan tergendala dengan masing-masing menyalahkan satu sama lain atas kebuntuan itu.
Artikel tersebut diterbitkan beberapa hari selepas enam tebusan Israel ditemukan mati di sebuah terowong Hamas di selatan Gaza, menyebabkan protes besar-besaran di Israel dan kemarahan keluarga tebusan, yang menuduh Netanyahu menggagalkan rundingan gencatan senjata demi kepentingan politik.
Perang di Gaza tercetus selepas serangan oleh Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan 251 tebusan ditawan di Gaza.
Serangan balas Israel pula mengorbankan lebih 43,000 rakyat Palestin dan menyebabkan banyak kawasan di Gaza musnah. -AGENSI