KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri menutup tirai kejohanan terjun Terbuka Malaysia 2024 dengan menambah emas ketiga dalam acara akhir 3 meter (m) papan anjal seirama campuran, hari ini.
Beliau bersama Gabriel Gibert Daim tidak mempunyai masalah untuk mengaut emas dengan mengumpul 242.10 mata mengatasi pasangan Indonesia, Aldinsyah Putra Rafi-Gladies Laries Garina (230.40 mata).
Dhabitah bagaimanapun berkata, walaupun beliau dan Gabriel tidak digandingkan lebih dari setahun, namun itu tidak menghalang mereka untuk bangkit mempamerkan aksi mengagumkan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.
“Saya sangat berbangga dengan persembahan dengan Gabriel kerana kami berdua kalau nak diikutkan sudah hampir setahun tidak digandingkan bersama.
“Untuk kejohanan hari ini saya sangat berpuas hati dapat menghabiskan pertandingan ini seperti yang dirancangkan,” kata Dhabitah kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, di sini, hari ini.
Penerjun berusia 25 tahun sebelum ini menggondol emas bersama Ong Ker Ying pada acara akhir 3m papan anjal seirama wanita pagi tadi serta berpasukan campuran pada Sabtu.
Sementara itu, demam panas jelas tidak mematahkan semangat penerjun lelaki negara, Jellson Jabilin untuk mengungguli emas kedua menerusi acara akhir 10m plaform lelaki.
Jellson yang mencatat 397.50 mata menumpaskan rakan sepasukannya, Enrique Maccartney Harold (391.15 mata) dan gangsa menjadi milik atlet Jepun, Nishida Reo selepas meraih 353.70 mata.
Penerjun berusia 23 tahun itu mengakui latihannya terganggu dua hari sebelum perlawanan kerana demam sekali gus hampir menganggu momentumnya.
“Saya baru pulih dari kecederaan pinggang (slip disk) dan dua hari lepas (sebelum kejohanan) saya mengalami demam sehingga saya tidak boleh berlatih.
“Bagaimanapun, untuk keseluruhan saya berpuas hati dengan semua usaha saya. Saya bersyukur kerana lepas sasaran saya,” kata Jellson.
Untuk rekod, kem terjun negara berhasil membawa pulang tujuh pingat emas dan tiga perak daripada 10 acara yang dipertandingkan pada kejohanan edisi kedua terbabit. – UTUSAN