Culik warga asing: 4 termasuk dua warga Myanmar didakwa

Culik warga asing: 4 termasuk dua warga Myanmar didakwa

EMPAT lelaki termasuk dua warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menculik dua warga asing pada 13 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Empat lelaki termasuk dua warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik dua lelaki warga asing, minggu lepas.

Dua daripada tertuduh iaitu Habizur Rahman Abul Jamil, 27, dan Abdullah Abu Jamil, 38, yang juga warga Myanmar mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut ketika kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mohamad Azrul Muhd Sobri.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh iaitu warga tempatan, Hadzri Abd Hamid, 40 dan Azri Shahrizal Abd Rahman, 41, memilih untuk membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama-sama telah menculik dua lelaki warga asing dengan niat supaya mereka dikurung secara rahsia dan salah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tapak pembinaan sebuah stesen minyak di Telok Ayer Tawar dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU), kira-kira pukul 8.30 malam pada 13 November lalu.

Atas kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan dua lelaki tempatan itu diikat jamin sebanyak RM5,000 tiap seorang dengan seorang penjamin manakala tiada jaminan ditawarkan kepada dua tertuduh warga Myanmar itu.

Kes dijangka disebut semula pada 3 Disember depan sementara menanti kehadiran jurubahasa Myanmar.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya