COP29: Negara kaya janji AS$300 bilion bantu hadapi krisis iklim

COP29: Negara kaya janji AS$300 bilion bantu hadapi krisis iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKU: Negara-negara kaya berjanji untuk menyediakan AS$300 bilion (RM1.34 trilion) setiap tahun menjelang 2035 kepada negara miskin untuk membantu mereka menghadapi kesan bencana yang semakin teruk akibat krisis iklim.

Perkara itu dipersetujui dalam perjanjian iklim baharu Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di Baku, Azerbaijan, pada Sabtu. 

Perjanjian itu dicapai selepas lebih dua minggu rundingan yang penuh cabaran, dicemari oleh boikot, pertikaian politik dan kontroversi mengenai sokongan terbuka terhadap bahan api fosil.

Rundingan hampir menemui kegagalan apabila kumpulan negara pulau kecil dan negara kurang membangun bertindak keluar daripada perbincangan itu. 

Namun, selepas lebih 30 jam melepasi tarikh akhir, persetujuan akhirnya berjaya dicapai oleh hampir 200 negara.

KANDUNGAN PERJANJIAN

Sebanyak AS$300 bilion akan disalurkan kepada negara miskin yang terdedah untuk membantu menghadapi cuaca ekstrem dahsyat dan beralih ke arah ekonomi tenaga bersih.

Bagaimanapun, jumlah tersebut lebih rendah daripada AS$1.3 trilion (RM5.8 trilion) yang dianggarkan oleh ahli ekonomi sebagai keperluan untuk membantu negara membangun menghadapi krisis iklim, yang sebahagian besar bukan berpunca daripada mereka, menyebabkan banyak negara meluahkan rasa tidak puas hati.

“Ia merupakan perjalanan yang sukar, tetapi kami berjaya mencapai perjanjian.

“Matlamat kewangan baharu ini adalah seperti polisi insurans untuk manusia, di tengah-tengah kesan iklim yang semakin teruk melanda setiap negara,” kata Ketua Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim, Simon Stiell.

COP29 banyak memberi tumpuan kepada isu kewangan, satu aspek penting dalam krisis iklim tetapi sangat sensitif dari segi politik.

Pada 2009, negara kaya yang secara sejarahnya menyumbang besar kepada perubahan iklim, berjanji untuk menyediakan AS$100 bilion (RM446.7) setiap tahun menjelang 2020 kepada negara membangun.

Walaupun janji itu dianggap jauh daripada mencukupi, sasaran tersebut hanya berjaya dicapai pada 2022, dua tahun selepas tarikh akhir.

Tugas di Baku adalah untuk menetapkan jumlah baharu.

Perjanjian baharu yang dipersetujui pada Sabtu menetapkan negara kaya, termasuk Amerika Syarikat (AS) serta Eropah, mesti menyediakan AS$300 bilion setiap tahun menjelang 2035, yang terdiri daripada dana awam dan swasta.

Meskipun perjanjian itu menyebut hasrat untuk meningkatkan jumlah kepada AS$1.3 trilion, negara membangun menuntut komitmen lebih besar daripada negara kaya.

Mereka juga menggesa supaya dana tersebut diberikan dalam bentuk geran bukan pinjaman, bagi mengelakkan terperangkap dalam beban hutang yang lebih besar.

Kumpulan G77, terdiri daripada negara-negara membangun, menyeru agar sejumlah AS$500 bilion (RM2.23 trilion) diperuntukkan.

Namun, negara kaya menolak angka yang lebih tinggi dengan alasan ia tidak realistik berdasarkan keadaan ekonomi semasa.

Terdapat juga desakan agar ekonomi maju yang kaya seperti China dan Arab Saudi turut menyumbang kepada pakej pembiayaan iklim.

Tetapi, perjanjian tersebut hanya menggalakkan negara membangun untuk membuat sumbangan secara sukarela tanpa sebarang kewajipan.

HURU-HARA COP29

Sidang kemuncak itu berlangsung pada penghujung tahun yang ‘hampir pasti’ akan tercatat sebagai paling panas dalam sejarah, dengan dunia dilanda cuaca ekstrem termasuk taufan, bencana banjir dan kemarau teruk di Afrika Selatan.

Sidang tersebut berlangsung di Azerbaijan, sebuah negara pengeluar minyak dan penuh dengan kepentingan bahan api fosil.

Lebih 1,700 pelobi atau pemain industri bahan api fosil mendaftar untuk menghadiri rundingan, melebihi hampir semua delegasi negara, menurut analisis Kick Big Polluters Out.

Bayangan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS juga mencabar rundingan itu.

Sebelum ini, Trump menyifatkan krisis iklim sebagai satu penipuan dan berikrar untuk menarik AS keluar daripada Perjanjian Iklim Paris.

Arab Saudi, pengeluar minyak terbesar dunia, yang sebelum ini menentang tindakan iklim kelihatan lebih berani di Baku, dengan menolak sebarang rujukan kepada minyak, arang batu dan gas dalam perjanjian itu.

Banyak kumpulan iklim mengkritik sidang kemuncak itu dan hasilnya.

“Ini merupakan rundingan iklim paling mengerikan dalam beberapa tahun, disebabkan niat buruk negara-negara maju.

“Ini sepatutnya menjadi COP kewangan, tetapi Global North muncul dengan rancangan untuk mengkhianati Global South,” kata Pengarah Eksekutif Climate Action Network, Tasneem Essop.- CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya