China rancang penempatan berbentuk igloo di bulan

China rancang penempatan berbentuk igloo di bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Saintis China memperkenalkan rekaan struktur berbentuk igloo menyerupai telur sebagai persediaan untuk rancangan penjajahan Bulan, selaras dengan usaha negara itu menerajui perlumbaan angkasa lepas.

Rekaan awal yang dihasilkan oleh pasukan penyelidik menunjukkan penempatan di Bulan akan lebih bersifat fungsional berbanding futuristik, dengan kediaman berbentuk igloo kelabu yang disusun seperti koloni kecil.

Model tersebut turut memaparkan angkasawan mini yang seolah-olah pulang ke kediaman mereka.

Ketua pasukan, Ding Lieyun dalam temubual bersama stesen televisyen China berkata, rekaan unik itu mengambil kira keadaan ekstrem di Bulan, termasuk kekurangan bahan mentah, suhu yang boleh mencecah variasi 300 darjah Celsius, serta ancaman radiasi kosmik.

“Selepas pelbagai percubaan, kami mencipta struktur berbentuk kubah berkembar yang memberikan penampilan seperti telur berdiri tegak. Bangunan ini akan dibahagikan kepada kawasan kediaman dan tempat kerja, dan boleh dibina oleh robot serta pencetak 3D,” katanya.

China kini dilihat mendahului perlumbaan penjajahan angkasa apabila berjaya menghantar empat kapal angkasa ke permukaan Bulan dalam tempoh 11 tahun, berbanding Amerika Syarikat yang hanya melakukan satu pendaratan.

China juga merancang untuk membina penempatan berpenghuni di Bulan menjelang 2035.

Sebagai persediaan, saintis negara itu telah membawa balik sampel habuk bulan untuk menghasilkan batu bata.

Batu bata tersebut sedang diuji di Stesen Angkasa Tiangong bagi memastikan ia mampu menahan keadaan ekstrem di angkasa lepas dan sekiranya berjaya, bahan binaan ini bakal menjadi asas kepada pembinaan penempatan manusia di bulan.

Rekaan ini menunjukkan pendekatan China yang lebih realistik dalam usaha penjajahan Bulan, menjadikan negara itu antara peneraju utama dalam merealisasikan impian penempatan angkasa lepas. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya