Bojan, Nafuzi dalam radar Selangor FC?

Bojan, Nafuzi dalam radar Selangor FC?

BOJAN Hodak difahamkan antara calon untuk mengisi jawatan ketua jurulatih Selangor FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekosongan yang ditinggalkan Nidzam Jamil bagi jawatan ketua jurulatih Selangor FC (SFC) menimbulkan persoalan siapa bakal mengendali Gergasi Merah selepas ini.

Ketiadaan Nidzam menyaksikan Abdi Hassan memegang tugas itu secara interim sementara menunggu kehadiran jurulatih baharu.

Beberapa calon menjadi sebutan dan miliki potensi besar untuk memacu juara 33 kali Piala Malaysia iaitu Bojan Hodak, Park Hang Seo dan Nafuzi Zain.

Naib juara Piala FA, Selangor kehilangan ketua jurulatih selepas Nidzam mengumumkan keputusan mengejutkan dengan meletak jawatan berkuat kuasa serta merta, Rabu lalu.

Bojan bukan nama asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas mencipta pelbagai kejayaan terutama meraih kejuaraan treble bersama Kelantan pada 2012.

Beliau juga membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali pertama pada 2014 selain menamatkan penantian 32 tahun Kuala Lumpur (KL) City untuk menjulang Piala Malaysia pada 2021.

Berdasarkan laman transfermarkt.com, kontrak Hodak bersama Persib Bandung dijangka berakhir pada tahun depan, sekali gus Selangor mungkin perlu berbelanja besar untuk menebus kontrak jika mahu mendapatkan khidmatnya.

Sementara itu, Nafuzi yang pernah membawa Terengganu FC (TFC) muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada 2022 menjadi jurulatih tempatan yang berpotensi namun ketika ini dia masih bersama Kedah Darul Aman(KDA) FC.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pihaknya ketika ini terbuka dan akan menilai secara menyeluruh sama ada jurulatih tempatan atau import yang sesuai buat Selangor.

“Perkara ini baru berlaku, kita pun tidak sangka Nidzam nak berhenti. Jadi kelab pun tiada perancangan dan selepas sah kelmarin (Nidzam letak jawatan), baru kita mula langkah untuk melihat jurulatih baharu.

“Dalam masa terdekat ini, kita harap dapat senaraikan beberapa calon, setakat ini belum ada calon secara spesifik. Kita akan tengok keseluruhan termasuk jurulatih tempatan dan kita juga lihat dari Jepun, Korea dan Eropah.

“Mungkin Hodak juga kita akan tengok, secara dasarnya saya tidak menidakkan. Park Hang Seo setakat ini kita belum sampai ke tahap itu lagi. Kita pun nak tengok beberapa calon lain dan kita tidak boleh tengok satu atau dua calon sahaja.

“Pendapat saya, paling penting jurulatih itu mesti layak dan kedua adalah karakter. Kalau ada kelayakan yang bagus tapi karakter tak kena dengan sistem kita pun susah juga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya