JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menuntut anak buahnya untuk memberi aksi terbaik ketika berdepan Kuala Lumpur Rovers pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Walaupun agak mustahil bagi pasukan pelawat untuk bangkit setelah tewas 0-3 pada aksi pertama, Bidoglio berharap skuad Harimau Selatan tidak mengambil mudah cabaran kelab Liga A1 Semi Pro itu.
“Keputusan aksi pertama menyaksikan JDT berjaya mengenepikan cabaran lawan, namun kami masih perlu meningkatkan permainan kami dengan lebih berintensiti tinggi dan dinamik.
“Ini kerana pasukan perlu mengambil serius setiap perlawanan dalam saingan Liga Malaysia termasuk Piala Malaysia, momentum perlawanan itu penting untuk perlawanan yang dihadapi seterusnya.
“Oleh itu, pemain perlu memberi 100 peratus di atas padang dan kekal fokus supaya segala perancangan ampuh yang direncanakan dalam diterjemahkan sebaiknya,” katanya.
Pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 20 November lalu, Heberty Fernandes muncul wira JDT apabila jaringan hatriknya membantu pasukan menang 3-0.
Pengendali berusia 56 tahun itu dilihat bakal menurunkan kesebelasan yang sama dan merehatkan barisan pemain utama menjelang aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang kelab Thailand, Buriram United, Selasa ini.
Katanya, JDT mempunyai skuad yang besar dan semua pemain berada dalam keadaan yang bertenaga dan bersedia untuk diturunkan pada perlawanan malam ini.
Tambahnya, soal kurang mendapat minit permainan bukanlah isu buat pemain Harimau Selatan yang berdepan siri latihan intensif menjelang pertemuan itu.
“Pada aksi pertama majoriti pemain yang diturunkan adalah mereka yang jarang beraksi namun kami percaya mampu memikul tugas yang diberikan iaitu untuk memastikan kemenangan dalam genggaman.
“Mereka juga merupakan pemain yang baik dan perlukan minit permainan. Saya yakin mereka dapat beraksi di tahap tinggi dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.- UTUSAN