Hidup berumahtangga bukan selalu berakhir dengan kebahagiaan. Di sebaliknya, ada cerita yang tidak terlihat, pengorbanan tidak terucap dan ada hati yang terluka.
Yang nyata, setiap perkahwinan datang dengan ujian dan liku-liku yang tidak terjangka.
Kebahagiaan mungkin hanya datang di awal perjalanan, ketika janji-janji setia diucap dan harapan dibina.
Namun, waktu dan realiti mengubah segalanya.
Ada pasangan yang bertahan bukan kerana cinta membara seperti dahulu, tetapi kerana komitmen dan tanggungjawab yang dipikul.
Demikian kisah dilalui Nora (bukan nama sebenar) yang telah berkahwin lebih daripada 10 tahun, namun mengakui perasaannya terhadap suami sudah tidak sehangat dahulu,
Wanita berusia pertengahan 30-an yang saya temui baru-baru ini berkata, dia mempertahankan rumah tangga sehingga ke hari ini hanya kerana sayangkan keluarga dan anak-anak.
“Saya terpaksa mengorbankan perasaan sendiri demi komitmen yang telah diikrarkan.
“Apa yang tersisa bukan kerana cinta, tetapi adalah atas dasar tanggungjawab menjaga rumah tangga dan anak-anak,’’ ujarnya.
Kata Nora, kebahagiaan diri sendiri bukan lagi menjadi keutamaan, tetapi tentang melindungi dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak.
Dia tahu, anak-anaknya, Danial dan Mira, (bukan nama sebenar) masing-masing berusia 7 dan 5 tahun itu memerlukan seorang ibu ketika mereka masih dalam proses pembesaran.
“Setiap kali saya patah semangat, kecewa dan hampir menyerah dengan apa yang berlaku, saya cuba mengingatkan kembali tentang tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak.
“Saya tahu anak-anak memerlukan kasih sayang seorang ibu dan bapa. Sebab itu saya bertahan sehingga ke hari ini kerana kebahagiaan mereka adalah yang utama berbanding diri saya sendiri,” ujarnya.
Nora tidak pernah membayangkan perkahwinannya bersama Sham (bukan nama sebenar), lelaki yang dicintai sebelum itu berakhir sedemikian rupa.
Sham bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, tetapi juga bapa.
Katanya, sepanjang perkahwinan lelaki itu tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai suami dan bapa.
Sham sering keluar malam, jarang memberi nafkah dan mengabaikan keluarga.
Lelaki yang diharap menjadi pelindung itu sudah beberapa tahun tidak bekerja dan sering kali lepas tangan terhadap tanggungjawab mereka.
Malah, apabila anak-anak jatuh sakit, dia terpaksa mengambil cuti dan menguruskan mereka sendirian.
Sham hanya memberi alasan tiada masa dan duit. Nora dibiarkan menguruskan semuanya seorang diri.
Dia terpaksa menguruskan semuanya, daripada menghantar, membeli ubat hingga menjaga anak-anak sepanjang hari tanpa bantuan atau sokongan daripada suami.
Nora cuba berbincang dan meminta Sham mencari pekerjaan, namun pelbagai alasan diberikan .
“Saya menaruh harapan besar dalam perkahwinan kami, impian untuk membina sebuah keluarga bahagia dan saling menyayangi.
“Sayangnya, semua itu semakin terhakis hari demi hari, ketika saya terpaksa menanggung sendirian beban keluarga, sementara suami makin jauh daripada tanggungjawab,” ujarnya.
Menurut Nora, kekuatannya kini adalah anak-anak.
Mereka tidak sepatutnya menjadi mangsa pada keretakan yang semakin melebar antara dia dan suami.
Ujar Nora lagi, meskipun hatinya terasa kosong dan luka, dia menelan semuanya tanpa keluhan, demi memastikan anak-anak tetap merasakan kasih sayang dalam sebuah keluarga yang lengkap.
Menyambung cerita, kata Nora, setiap hari dia bangun awal untuk menyiapkan anak-anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja.
Gajinya sebagai kerani di sebuah sekolah menengah berhampiran tidak besar, tetapi mampu menampung keperluan asas keluarga.
Setiap bulan Nora memastikan bil elektrik, sewa rumah dan barangan dapur dibayar walaupun kadangkala terpaksa mengorbankan keperluan peribadi.
Dia berjimat dan berusaha sedaya-upaya agar anak-anak tidak merasa kekurangan meskipun hidup dalam serba sederhana.
Kata Nora, sepanjang menjalani kehidupan berliku itu bukan tidak ada lelaki cuba mendekatinya.
Namun, dia tidak goyah dengan pujuk rayu lelaki lain yang berniat untuk membantunya keluar daripada perkahwinan toksik itu.
Razak, (bukan nama sebenar) antara lelaki yang acap kali mahu menghulurkan tangan kerana bersimpati dengan nasibnya ,
Begitu juga rakan sekerjanya, Farid, (bukan nama sebenar), duda anak dua turut cuba memancingnya.
Namun, dia tidak pernah sesekali berpaling daripada pendiriannya untuk terus mempertahankan rumah tangga yang dibina.
“Bukan tidak pernah berfikir untuk mengakhiri perkahwinan tersebut, namun hati cukup berat untuk melakukannya,
“Bukan juga kerana tidak mempunyai pilihan, tetapi saya sangat menyayangi anak-anak,” ujarnya.
Sambung Nora lagi, dia tahu perpisahan akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka, dan sebagai seorang ibu dia mahu melindungi anak-anaknya.
Pengorbanan Nora membuktikan erti kasih ibu yang tiada tandingannya.
Meskipun diuji dengan suami yang tidak bertanggungjawab, dia tetap tabah, berdiri teguh dan menjalani kehidupannya demi membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan harapan.
Kata Nora, dia sentiasa berdoa agar suatu hari nanti suaminya berubah dan menyedari tanggungjawabnya.
“Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah tersembunyi. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang dan mendengar setiap apa yang diadukan kepada-Nya. Semoga kesabaran saya, ada kemanisan dan keindahan pada akhirnya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Sesungguhnya ada hikmah , di sebalik yang berlaku.
Sebagaimana Firman Allah SWT, “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu sedang kamu tidak mengetahuinya” (al-baqarah : 216).